BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menampilkan kebangkitan dramatik bagi memastikan tempat ke separuh akhir kejohanan badminton Toyota Terbuka Thailand di Bangkok hari ini.
Lebih membanggakan, Pang Ron-Yee See melangkah ke pusingan empat terbaik selepas menewaskan pilihan keenam yang juga beregu No. 8 dunia dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 12-21, 21-19, 21-19 pada aksi suku akhir semalam.
Tewas pada set pertama langsung tidak mematahkan semangat juang gandingan No. 35 dunia itu apabila mereka menampilkan aksi lebih kemas dan yakin pada dua set berikutnya.
Pang Ron berkata, mereka sedikit bergelut pada set pertama memandangkan belum dapat menyesuaikan diri dengan suasana perlawanan, selain pasukan lawan menampilkan aksi menyerang.
“Ya, ia satu perlawanan yang sangat sukar dan kami berdepan situasi tidak menentu apabila mereka bermain lebih yakin serta banyak melakukan serangan.
“Masuk set kedua, kami mula bermain dengan lebih sabar serta fokus untuk kutip mata. Strategi itu berkesan dan membawa kami ke pentas separuh akhir,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, kali terakhir Pang Ron-Yee See melayakkan diri ke separuh akhir adalah ketika mereka menjuarai Cabaran Antarabangsa Bangladesh pada Disember 2019.
Mengulas aksi separuh akhir menentang pilihan keempat dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung hari ini, Pang Ron sedia untuk berbincang dengan jurulatih bagi mencari ramuan terbaik menewaskan mereka.
“Sudah tentu kami akan berdepan lawan sukar iaitu berdepan lawan dari Korea. Kami akan cuba tampilkan aksi terbaik serta berbincang dengan jurulatih bagi mengharungi perlawanan itu nanti,” ujar pemain berusia 22 tahun itu.