MANILA – Seorang ketua polis di Filipina dipecat kerana mendakwa seorang pramugari mati akibat dirogol bergilir-gilir dan dibunuh tetapi keluarga mangsa yakin bahawa dia memberitahu perkara sebenar, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Mayat Christine Angelica Dacera, 23, ditemui di bilik mandi City Garden Hotel, bandar Makati, Manila selepas pesta Tahun Baru.
Seramai 11 lelaki didakwa kerana merogol dan membunuh pramugari syarikat penerbangan PAL Express berusia 23 tahun itu setelah polis menemui kesan kecederaan pada lengan dan kaki mangsa serta tompokan air mani pada badannya.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya kemudian menggugurkan tuduhan terhadap mereka. Pihak pendakwa raya berkata, bedah siasat mendapati Christine mati akibat pendarahan dalam otak.
Kini terdapat arahan untuk memecat Ketua Polis Makati, Kolonel (Polis) Harold Depositar berikutan kritikan terhadap cara dia mengendalikan kes berprofil tinggi itu, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Ibu mangsa bagaimanapun menolak hasil bedah siasat dan berkata, anak perempuannya diperkosa dan dibunuh dan pembunuhnya harus dibawa ke muka pengadilan.
Salah seorang rakan mangsa, Rommel Galida yang sebelum ini ditangkap sebagai suspek memberitahu, dia bangun sekitar jam 10 pagi keesokan harinya dan melihat Christine tertidur dalam tab mandi.
Rommel berkata, dia menutup tubuh mangsa dengan selimut sebelum kembali tidur. Menurutnya, dia hanya menyedari sesuatu tidak kena berlaku kepada mangsa dan menghubungi polis selepas bangun kemudian.
Polis pada mulanya mendakwa kes tersebut adalah jenayah rogol bergilir-gilir seperti dilaporkan media seluruh dunia, namun menukar kenyataan selepas mengaku maklumat diberikan sebelum bedah siasat dilakukan terhadap mangsa.
Terbaharu, semua suspek kes itu mengaku bahawa mereka adalah gay.
“Sekiranya anda melihat mayat Christine, sekiranya anda ibu mangsa, anda pasti merasakan penderitaan anak saya di tangan mereka tetapi anak saya tidak boleh menyatakannya kerana dia sudah mati,” kata ibu mangsa.
Dalam pada itu, autopsi kedua dijangka dilakukan pada minggu ini.
Sebelum kematiannya, Christine telah mendaftar masuk ke hotel itu bersama tiga rakan lelaki dan seorang lelaki lain. Lebih ramai lelaki menyertai mereka kemudian untuk pesta Malam Tahun Baru.
Kolonel Harold Depositar yang dipecat berkata, Christine mengalami kesan cedera pada lengan dan kaki, manakala kesan air mani terdapat pada kemaluannya.
“’Hanya tiga daripada lelaki tersebut adalah kawan mangsa.
“Yang lain adalah orang asing kerana mereka hanya dikenali oleh tiga rakannya,” katanya. – Agensi