SIAPA lagi dalam kalangan penyanyi Malaysia yang berani mengambil risiko melahirkan album dengan himpunan lagu-lagu Melayu klasik sewaktu penularan Covid-19 masih bermaharajalela ? Penyanyi itu tidak lain dan tidak bukan, Dayang Nurfaizah.
Perlu diingatkan, Dayang atau nama sebenarya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 39, tidak hadir dengan album pop seperti kebiasaan, tetapi album memuatkan lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan legenda tanah air seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Tan Sri SM Salim dan Allahyarham Puan Sri Saloma.
Dayang barangkali telah banyak kekuatan apabila keluar daripada zon selesanya, lagu-lagu berentak balada atau R&B apabila dengan selamba mengalunkan listrik vokal menerusi lapan buah trek yang dimuatkan dalam album Belagu.
Belagu diambil daripada perkataan bahasa Melayu Sarawak yang membawa maksud ‘menyanyi’. Sebagai permulaan, Dayang melancarkan single Tudung Periuk yang pernah dipopularkan oleh P. Ramlee dan Saloma sebagai buah tangan pertama daripada album tersebut. Lagu tersebut mendapat sentuhan magis daripada Aubrey Suwito yang berperanan sebagai pengarah muzik dan penerbit.
Secara peribadi, tiada siapa dapat menandingi kualiti terutama dari segi penghayatan yang dicernakan P. Ramlee dan Saloma. Itu sesuatu perkara yang tidak boleh disentuh dan tersergam indah dalam arkib muzik negara.
Menyanyi sendirian secara ‘live’, Dayang bagaimanapun terus membuktikan mengapa dia layak menyanyikan semula lagu tersebut biarpun dia sendiri mengakui, lagu asli atau tradisional bukan ‘forte’ dirinya.
Namun, versi baharu yang dizahirkan membuatkan bukan hanya penulis, bahkan rata-rata pendengar berfikiran betapa rendah dirinya penyanyi bernama Dayang Nurfaizah itu.
Kelas ‘A’
Persembahkan apa sahaja genre sekalipun, Dayang tetap mampu menjayakan apa sahaja tugasan diberikan dengan sebaik-baiknya.
Dari segi alunan suara, penghayatan, sebutan, lenggok asli yang diutarakan Dayang, segalanya seimbang dan kedengaran sempurna. Kelas A!
Vokal Dayang matang seperti ranumnya sepohon rambutan yang terus ditagih para penggemar kala usianya berbaki setahun untuk mencecah angka 40-an.
Itu membuktikan, tempoh lebih dua dekad dalam industri seni suara tanah air benar-benar membentangkan permaidani merah untuk dirinya diangkat sebagai antara vokalis wanita terbaik Malaysia.
Penulis juga kagum betapa ‘asli’nya nyanyian Dayang dalam Tudung Periuk. Hembusan nafasnya juga memberi makna terhadap simbolik lagu yang sangat puitis dan indah permainan bahasanya.
Itu belum disentuh lagi soal melodi yang diberi nafas baharu.
Melalui Dayang, seorang penyanyi berkaliber yang mengambil insiatif menyanyikan lagu-lagu klasik lama sebagaimana kata orang, ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, diharap dapat memberi peringatan kepada generasi sekarang agar jangan semakin terlena dengan bahasa pasar, bahasa pinjaman yang entah dari planet ‘sepet’ mana, untuk kembali menatap keindahan bahasa dan budaya dalam berkarya.
Jika bukan kita yang memperkasakan dan berbangga dengan warisan budaya budaya sendiri, siapa lagi?
Adakah kita mahu tunggu dan lihat sahaja orang luar datang ke negara kita dan kemudian mengungkit mengakui kepunyaan kita sebagai milik mereka?
Sedangkan, kita sendiri yang tidak fasih menzahirkan apresiasi terhadap khazanah sendiri. Tepuk dada, tanya selera.
Buat Dayang dan pasukan, syabas dan terima kasih atas kehadiran diskografi yang satu ini.
Tidak sabar untuk mendakap dengar tujuh lagi trek lain apabila album penuh diluncurkan Februari nanti.
Tudung Periuk kini boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music manakala album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Februari 2021.
Tujuh trek lain dalam Berlagu termasuklah, Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini), Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doa Mu.