fbpx

Jemaah Masjid At-Taqwa, Paroi patuh SOP, JHEAINS nafi video tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang jemaah menunjukkan satu video berdurasi lebih dua minit yang tular di aplikasi WhatsApp sejak malam semalam

SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memaklumkan aktiviti solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi di sini semalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, tiada berlaku pelanggaran SOP dalam kalangan jemaah seperti didakwa sepanjang pemantauan yang dibuat oleh pihak polis atau penguatkuasa JHEAINS di masjid berkenaan.

“Jemaah telah membawa sejadah besar sendiri, memakai pelitup muka, mematuhi jarak fizikal yang telah ditetapkan oleh pihak jawatankuasa semasa berada dalam masjid.

“Hanya satu pintu pagar sahaja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid. Jawatankuasa masjid telah menyediakan tiga khemah di luar kawasan masjid untuk tujuan melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan jemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas satu video berdurasi lebih dua minit yang tular di aplikasi WhatsApp sejak malam semalam di mana perakamnya mempersoalkan SOP semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila jemaah sedang keluar daripada masjid dan dilihatbbaru selesai menunaikan solat Jumaat.

Perakam video tersebut mempersoalkan kehadiran ramai jemaah serta motosikal dan kereta yang banyak diletakkan di bahu-bahu jalan sehingga dakwanya menghalang laluan kenderaan lain.

Jelas Mohd. Zaidi, jemaah tidak dibenarkan meletakkan kenderaan dalam kawasan masjid berdasarkan SOP yang telah ditetapkan, oleh sebab itu terdapat banyak kenderaan kelihatan di bahu jalan.

“Kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal adalah seramai 3,000 orang, manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah seramai 1,200 orang.

“Bagaimanapun, jemaah yang dilaporkan hadir pada hari tersebut (semalam) seramai 900 orang sahaja. Hal ini selaras dengan arahan Kerajaan Negeri yang membenarkan rumah ibadah dibuka untuk tujuan ibadah dan bukan untuk upacara keramaian,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya menyeru seluruh umat Islam di Negeri Sembilan agar mematuhi semua SOP yang ditetapkan semasa berada dalam kawasan masjid dan bersurai selepas melaksanakan ibadah.

“Perkara ini, supaya tidak membuka ruang fitnah kepada umat Islam dan boleh terus melaksanakan ibadah dengan tenang di samping menghidupkan masjid dan surau.

“Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama. Setiap individu Muslim hendaklah bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjaga kesucian Islam agar tidak diperlekehkan oleh orang lain,” katanya.

Tegas beliau, pihak JHEAINS tetap konsisten untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP sama ada oleh individu jemaah atau pihak jawatankuasa masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, penetapan SOP solat Jumaat di negeri ini ditetapkan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

“Pihak polis juga ada membuat pemantauan di masjid tersebut dan ia bertepatan dengan SOP MAINS.

“Jangan sebar (video tular) jika tidak pasti, kerana ia boleh mengakibatkan salah faham masyarakat,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI