LONDON – Sebuah klip video memaparkan seorang budak lelaki berumur empat tahun mengugut mahu menumbuk muka Perdana Menteri Britain, Boris Johnson sekiranya perintah berkurung koronavirus dilanjutkan, menjadi tular di internet.
Akhbar The Sun UK melaporkan, kanak-kanak bernama Marley itu geram apabila diberitahu ibunya bahawa kelas renang dibatalkan kerana pelaksanaan perintah berkurung Covid-19 di England.
“Marley bertanya kepada saya baru-baru ini sama ada dia boleh pergi berenang.
“Saya memberitahunya tidak boleh kerana Boris (Johnson) telah melanjutkan perintah berkurung selama beberapa minggu lagi. Dia kemudian berkata, boleh saya hantar video kepada Boris?” kata ibunya, Harmony Brandon, 25, yang menetap di Essex, England.
Menurut Harmony, video itu tular kerana ramai penduduk Britain juga geram dan mempunyai sentimen serupa.
Setakat ini, rakaman itu mencatatkan lebih 30,000 tontonan di TikTok.
“Hello Boris Johnson. Sekiranya kamu melanjutkan lagi perintah berkurung, saya akan pergi ke rumah kamu untuk tumbuk kamu, gigit dan tumbuk muka kamu,” kata Marley dalam klip video tersebut.
Harmony berkata, dia dan pasangannya, Alex, 28, gelak besar mellihat rakaman video tersebut.
“Kami tidak boleh berhenti ketawa,” katanya. – Agensi