KOTA BHARU – Seramai 257 pesakit Covid-19 kini sedang dirawat di empat buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.
Empat PKRC itu adalah di Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu serta Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di Kota Bharu dan Dewan Sivik, Gua Musang.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Husin berkata, melihat kepada jumlah pesakit itu, beliau khuatir kemudahan katil yang disediakan di empat PKRC itu tidak mampu menampung pertambahan pesakit dalam tempoh terdekat.
Katanya, susulan daripada itu, seramai 145 pesakit berisiko rendah telah dibenarkan kuarantin di rumah di seluruh negeri ini dibawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO).
“Sebelum dimasukkan ke PKRC, pesakit diberi nasihat sama ada mereka boleh dikuarantinkan di rumah ataupun di hospital. Ini tidak bermakna semua yang bergejala boleh di kuarantin di rumah.
“Kita ada kriteria tertentu sebelum mereka dibenarkan kuarantin di rumah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di PKRC Putik, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya juga sentiasa memastikan PKRC menjadi sebuah lokasi kuarantin seperti rumah sendiri bagi memastikan pesakit mempunyai motivasi yang tinggi untuk sembuh dan melawan wabak tersebut.
Tambahnya, JKNK juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak terutamanya badan bukan kerajaan (NGO) banyak menghulurkan bantuan dan makanan yang berkhasiat untuk pesakit-pesakit di PKRC bagi memastikan emosi mereka terus dalam keadaan positif. – K! ONLINE.