REGGIO EMILIA, Itali – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah dunia baharu buat diri sendiri selepas meledak satu gol membantu pasukannya menjulang gelaran Piala Super Itali menewaskan Napoli 2-0 di Stadium Mapei awal pagi semalam.
Gol tersebut mengesahkan Ronaldo sebagai pemain paling banyak menjaringkan gol bersama kelab dan negara dalam perlawanan rasmi dengan keseluruhan 760 jaringan sejak memulakan karier profesional dengan Sporting Lisbon pada 2002.
Ia sekali gus memintas pemegang rekod terdahulu iaitu Josef Bican yang meledak 759 gol rasmi sepanjang kariernya dari 1931 hingga 1955.
Pemenang lima gelaran Ballon d’Or itu yang akan genap usia 36 tahun pada 5 Februari ini, memecahkan rekod tersebut menerusi rembatan padu dari jarak dekat untuk membuka tirai jaringan buat Juventus ke atas Napoli pada minit ke-64.
“Saya sebenarnya lebih gembira kerana berjaya membantu Juventus menjulang kejuaraan ini kerana ia bukan mudah apabila menentang Napoli selain terpaksa beraksi atas padang yang agak teruk.
“Kami bangkit dengan prestasi lebih bagus selepas tewas kepada Inter (Milan). Saya harap kejayaan ini dapat meningkatkan keyakinan kami untuk terus memburu lebih banyak kejuaraan pada masa depan,” kata Ronaldo.
Selain Ronaldo, gol kedua Juventus dijaringkan Alvaro Morata pada minit ke-95 sekali gus menghadiahkan trofi pertama buat Andrea Pirlo yang dilantik mengendalikan pasukan itu menggantikan tempat Maurizio Sarri awal musim ini. – AGENSI