fbpx

K2

Populasi Korea Selatan meruncing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIDAKSTABILAN ekonomi menjadi penghalang pasangan berusia 19 hingga 49 tahun memiliki cahaya mata di Korea Selatan.- AFP

PASANGAN muda, Kim Seung-pyo, 33, dan Do Ara, 31, baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan pertama mereka baru-baru ini.

Pasangan dari Seoul, Korea Selatan itu boleh dianggap cukup bertuah memandangkan mereka mempunyai sebuah pangsapuri untuk menginap, selain masing-masing mempunyai pekerjaan tetap.

Bagaimanapun, pasangan itu tidak pernah bercadang atau berminat untuk memiliki anak buat masa ini disebabkan kurangnya keyakinan untuk membesarkan mereka.

“Saya sangat menyukai kanak-kanak, namun selepas berkahwin baharu kami merasai realitinya.

“Kami hampir tidak mempunyai masa untuk menguruskan hidup masing-masing. Jadi, kami meragui kemampuan untuk membesarkan anak buat masa ini,” ujar Seung-pyo.

Dia juga berdepan dilema mengenai individu yang harus menjaga anaknya apabila mereka berdua keluar bekerja kelak.

“Keluarga mahu isteri saya tinggal di rumah bersama keluarganya. Namun, dia juga perlu menjaga pekerjaannya.

“Isteri saya bekerja sebagai guru tadika. Dia kini belajar bidang kaunseling secara sambilan dengan harapan mendapat pekerjaan lebih baik selepas ini,” tambah Seung-pyo lagi.

Buat masa ini, pasangan tersebut berhasrat memiliki seorang anak atau tiada langsung. Mereka bukan satu-satunya pasangan di Korea Selatan yang mempunyai perancangan sedemikian.

INSENTIF kewangan diperkenalkan kepada setiap pasangan yang memiliki anak bagi meningkatkan kadar kelahiran bayi. – GAMBAR HIASAN

Menurut statistik, negara Asia Timur itu mempunyai hampir satu juta pasangan baharu berkahwin dari tahun 2015 hingga 2019, tetapi 40 peratus daripadanya tidak mempunyai anak.

Korea Selatan menjadi negara dengan kadar kesuburan terendah dunia iaitu 0.92 pada tahun 2019 berbanding 0.84 pada suku ketiga tahun lalu.

Angka berkenaan sangat membimbangkan sehingga memaksa Suruhanjaya Sosial Penduduk dan Penuaan mengusulkan beberapa langkah drastik bagi mengatasi fenomena itu.

Baru-baru ini, suruhanjaya berkenaan telah melancarkan pelan khas buat kali ketiga bagi mengatasi masalah itu dari tahun 2021 hingga 2025.

Salah satu usaha yang dilakukan, setiap pasangan yang melahirkan anak akan diberikan 2 juta won (RM7,341) dengan bantuan sokongan 300,000 won (RM1,100) sebulan bermula tahun 2022.

Jumlah bantuan akan meningkat menjadi 500,000 won (RM1,835) sebulan menjelang tahun 2025. Pemberian bantuan dilakukan sehingga anak berkenaan berumur setahun.

Setiap pasangan juga akan menerima insurans bulanan sehingga 3 juta won (RM11,000) sepanjang cuti bersalin.

Hasil tinjauan dilakukan Institut Kesihatan dan Kesejahteraan, ketidakstabilan ekonomi dan cabaran membesarkan anak menjadi penghalang kepada pasangan berusia 19-49 tahun memiliki cahaya mata.

Seorang guru yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Yang Seung-hae terpaksa bekerja lebih masa di sekolah bagi membolehkan kedua-dua anaknya dihantar ke kelas persendirian khas.

Di negara gergasi ekonomi Asia itu, asas pelajaran yang perlu dikuasai oleh pelajar adalah matematik, sastera, piano dan berenang.

“Semuanya memerlukan kos tinggi bagi membolehkan anak anda layak masuk ke universiti terbaik. Dalam peperiksaan, sangat penting anak anda mendapat keputusan lebih baik daripada pelajar lain,” katanya.

Menurut pengiraan JoongAng Ilbo, kos purata pendidikan swasta selama enam tahun bagi seorang pelajar adalah sekitar 92.5 juta won (RM300,560).

Seung-hae memaklumkan, seorang ibu juga cenderung kemurungan selepas bersalin disebabkan wanita diberi tanggungjawab penuh menjaga anak.

“Lelaki sering mengelak kerja-kerja di rumah kerana norma sosial di sini. Saya hanya boleh memikirkan percutian selepas anak-anak masuk ke kolej,” katanya.

Sementara itu, Profesor Kesihatan Awam di Universiti Nasional Seoul, Cho Young-tae memaklumkan, pihak pemerintah gagal mengenal pasti punca penurunan kadar kelahiran rendah. Dia memandingkan masalah itu dengan kenaikan harga hartanah.

“Kedua-dua masalah ini berpunca daripada kepadatan penduduk. Disebabkan terlalu padat, persaingan mendapatkan sumber semakin meningkat. Naluri survival manusia melebihi tahap permintaan,” terangnya.

KOS pendidikan semakin meningkat di negara gergasi ekonomi Asia ini dengan bayaran purata untuk pendidikan swasta selama enam tahun RM300,560. – GAMBAR HIASAN

Memiliki jumlah penduduk seramai 50 juta orang, Korea Selatan merupakan salah satu negara paling padat di dunia. Separuh daripada populasi berkenaan tinggal di ibu kota Seoul.

“Bagi mengatasi kadar kelahiran rendah, penting untuk memahami persaingan hebat yang dihadapi
oleh generasi muda.

“Pemerintah perlu mengurangkan motivasi untuk mereka berhijrah ke Seoul. Kita tidak seharusnya fokus kepada institusi, namun ia perlu merangkumi tahap kesejahteraan,” ujarnya.

Persatuan Penduduk Korea Selatan turut mengkritik pendekatan pemerintah dalam mengatasi isu semasa berkenaan.

Dalam sebuah forum dihoskan oleh Kementerian Kesihatan, Profesor Sosiologi, Park Keong-suk menekankan pentingnya pemerintah memberi fokus kepada meningkatkan kualiti hidup dan bukannya usaha melahirkan lebih ramai anak.

“Ketika pandemik Covid-19 ini, kadar pengangguran dalam kalangan remaja sangat tinggi dan interaksi sosial semakin teruk.

“Jadi, kita perlu memberi fokus untuk memulihkan persekitaran tempat tinggal sekali gus meningkatkan kadar kelahiran secara semula jadi,” katanya.

 

KERAJAAN Korea Selatan digesa mengurangkan motivasi penduduknya berhijrah ke Seoul bagi membendung masalah kadar kelahiran yang rendah. – GAMBAR HIASAN

Bagi Pensyarah di Universiti Kebangsaan Chungnam, Jun Kwang-hee, dia memberi pendapat agak pesimis.

“Saya bimbang sekiranya negara ini tidak dapat bertahan pada masa depan jika kita gagal bertindak secara drastik.

“Insentif yang diberikan pemerintah hanya bersifat sementara sebelum negara dapat kaedah yang lebih berkesan bagi memulihkan fenomena ini,” ujarnya.

Pada tahun lalu, Korea Selatan mencatatkan kadar kematian lebih tinggi berbanding kadar kelahiran.

Ia merupakan berita yang tidak diingini oleh sebuah negara mempunyai kadar kelahiran terendah di dunia.

Kwang-hee berkata, dengan keadaan semasa ketika ini, tidak mustahil penduduk Korea Selatan akan mencatatkan paras terendah selama beberapa tahun.

Dia percaya, langkah untuk memberi 100 juta won kepada setiap kelahiran menjadi idea sangat baik.

Menurut kajian sebuah badan dunia, 151 buah negara berhadapan dengan pengurang kadar kelahiran menjelang tahun 2050.

Negara yang dijangka mengalami pengurangan kadar kelahiran adalah Jepun, Sepanyol dan Thailand sekali gus mengurangkan populasi hampir 50 peratus.

“Penurunan kadar kelahiran akan menyumbang kepada masalah lain pada masa depan. Ia memberi tekanan kepada pihak pemerintah untuk menyokong warga emas selepas mereka bersara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI