LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menghamburkan pujian terhadap pemain tengahnya, Paul Pogba selepas pemain itu meledak gol kemenangan ketika menewaskan Fulham 2-1 awal pagi semalam.
Selepas mempamerkan aksi goyah pada awal musim, Pogba terpaksa diketepikan selepas diuji positif virus Covid-19 menyebabkan persembahannya dikritik hebat kemudiannya sebelum kembali menemui prestasi sejak beberapa minggu lalu.
Pogba ketika ini sudah beraksi dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan dua gol termasuk rembatan kaki kirinya yang menemui jaringan pada aksi awal pagi semalam di Craven Cottage.
Gol tersebut memberikan kemenangan buat United selepas Ademola Lookman membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit kelima dan Edinson Cavani menyamakan kedudukan 15 minit kemudian.
“Kami selalu percaya bahawa Paul mampu melakukan apa sahaja. Dia mampu bermain di bahagian tengah atau bergerak di bahagian sayap selain mempunyai keupayaan untuk mencipta peluang kepada pemain lain serta melakukan percubaan.
“Hari ini kami membiarkan dia beroperasi di bahagian tengah dan rembatan kaki kiri itu cukup menakjubkan.
“Prestasinya sudah kembali, dia cergas sepenuhnya untuk diturunkan. Apabila dia berada pada tahap terbaik, anda akan melihat Paul akan memberikan segala-galanya untuk pasukan,” kata Solskjaer.
United kini meraih empat kemenangan daripada lima perlawanan sekali gus meletakkan mereka antara calon untuk menjulang kejuaraan liga musim ini selepas kali terakhir mereka melakukannya pada musim 2012/2013.
Bagaimanapun, Solskjaer masih enggan mengulas mengenai peluang berkenaan sebaliknya mahu pasukannya memberikan fokus perlawanan demi perlawanan. – AGENSI