fbpx

Permulaan Nafas Cinta Aina, Khai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAI BAHAR dan Aina Abdul kini menyatu dalam Nafas Cinta.

KOLABORATIF antara penyanyi Aina Abdul dan Khai Bahar sebenarnya hadir tanpa dirancang.

Bermula dengan sekadar ‘ajak mulut’ untuk berduet menyanyikan semula lagu-lagu nyanyian asal ‘cover’ penyanyi dalam YouTube, akhirnya membuahkan hasil sehingga tercetusnya single Nafas Cinta.

Menurut Aina, dia dan Khai tidak pernah merancang pun untuk merakamkan single bersama-sama.

Asalnya mereka sekadar menyanyi bersama untuk mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.

“Tak ada perancangan pun nak keluarkan single duet.

“Idea timbul daripada cakap-cakap mulut pada awalnya ketika kami berdua dijemput membuat persembahan dalam sebuah konsert terbitan RTM.

“Kemudian semasa PKP mula dilaksanakan, kami ada buat ‘cover’ lagu dalam YouTube dan daripada situlah timbulnya idea untuk menghasilkan lagu duet,” kata Aina.

Menerusi Nafas Cinta, gandingan Aina dan Khai Bahar nyata kedengaran harmoni, tambahan pula kedua-dua mereka merupakan antara penyanyi generasi terkini yang mempunyai kemantapan dan nada vokal tersendiri,

Hanya dengan sekali dengar, lagu ciptaan sepenuhnya Aina dan Khai itu mudah ditangkap halwa telinga sesiapa sahaja, termasuk penulis.

AINA dan Khai sebenarnya telah lama menyimpan hasrat untuk berduet antara satu sama lain. Semuanya tercetus selepas digandingkan dalam satu konsert terbitan RTM pada tahun lalu.

Keserasian

Menurut pelantun lagu Sumpah itu lagi, Nafas Cinta tidak mempamerkan kisah cinta yang berat kerana bimbang dia tidak dapat mencipta keserasian memandangan kedua-duanya baru pertama kali hendak bekerjasama.

“Kalau nyanyi lagu cinta berat rasanya takut untuk kami sampaikan dan susah untuk membentuk keserasian. Karakter kami belum dipupuk lagi ketika itu,” katanya.

Bagaimanapun Aina menambah, sebagai penyanyi dia perlu bijak bermain dengan perasaan dan mengambil inspirasi dengan pengalaman cinta terdahulu untuk diserap ke dalam lagu walaupun mengakui dirinya kini masih lagi berstatus solo.

Bagi Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin pula, peluang dapat bekerjasama dengan Aina menerusi single Nafas Cinta merupakan satu impian yang tidak dapat ditolak.

Bahkan, penyanyi berusia 26 tahun itu sememangnya ada menyimpan hasrat untuk berduet dengan Aina sejak sekian lama.

“Sebenarnya, saya sendiri berasa terharu apabila Aina mempelawa saya untuk berduet dalam YouTube. Bila tahu kami akan bekerjasama untuk menghasilkan single duet, lagilah saya gembira,” katanya.

Akui Khai, Aina kini boleh dikatakan antara penyanyi wanita yang ‘laku’ di pasaran. Setiap peminat pasti tidak akan melepaskan peluang mendengar atau menyaksikan persembahan Aina dalam radio mahupun televisyen.

“Bakat Aina dapat perhatian ramai. Kalau Aina keluar televisyen semua orang nak tengok.

“Sejujurnya apabila berada satu pentas dengan Aina, saya akan berasa lebih yakin untuk menyanyi. Memang ada ‘sesuatu’ pada dirinya,” puji Khai.

AINA ABDUL memberitahu Nafas Cinta merupakan sebuah lagu duet yang memerlukan keserasian antara penyanyi untuk memberikan penghayatan lebih tulus.

Elak gimik

Mengeluarkan single saat negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19 semestinya berbeza berbanding sebelumnya.

Dari segi rakaman lagu, pembikinan muzik video sehinggalah proses promosi, pastinya akan terjejas, paling tidak agak terbatas.

Bercakap soal gimik untuk melariskan lagu tersebut, Khai mendakwa dia ada terfikir tentang perkara tersebut pada awalnya untuk memberikan ‘sesuatu’ terhadap lagu Nafas Cinta.

Bagaimanapun selepas difikirkan semula, Khai membatalkan perancangan tersebut kerana bimbang pandangan sesetengah masyarakat mungkin bersimpang daripada gimik yang akan disampaikan nanti.

Bahkan, Aina juga berfikiran serupa dan seboleh-bolehnya tidak mahu melakukan sebarang gimik untuk memperkenalkan sesebuah karyanya.

“Saya pun fikir perkara yang sama. Kalau ada gimik, pengakhirannya nanti sama ada diterima atau tidak.

“Ada banyak cara lain untuk melariskan produk bukan semata-mata bergantung dengan gimik,” kata Aina.

Sama juga dengan pembikinan muzik video yang dihasilkan secara visual animasi.

Menurut Aina dan Khai, perancangan awal memang mereka sendiri akan terlibat sebagai pelakon dalam video muzik Nafas Cinta. Mereka juga telah merangka sebuah jalan cerita istimewa untuk lagu berkenaan.

KHAI BAHAR melahirkan rasa teruja apabila dapat berduet dengan Aina Abdul yang disifatkan sebagai seorang penyanyi wanita hebat hari ini.

Ada sesuatu

Bagaimanapun, disebabkan PKP yang mengehadkan aktiviti di luar, penghasilan muzik video secara animasi merupakan idea terbaik bagi mengelakkan sebarang isiko.

Sempat diusik sama ada kerjasama antara mereka ini bakal menjadi buah mulut peminat masing-masing, Khai tidak mempunyai kuasa untuk menghalang khalayak daripada berfikir sebegitu.

“Namun yang pasti, kami bekerja secara profesional dan tanpa menyimpan perasaan antara satu sama lain.

“Tetapi bagus juga jika peminat nampak hubungan kami seperti ada ‘sesuatu’. Sekurang-kurangnya saya dan Aina berjaya mencipta keserasian menerusi lagu ini bersama,” kata Khai.

Bagi Aina pula, gandingan bersama Khai merupakan pengalaman duet yang pertama baginya. Seperti Khai, Aina juga mengagumi kelantangan vokal penyanyi kelahiran Perlis itu.

“Khai seorang penyanyi yang mempunyai ‘range’ suara yang hebat,” kata Aina.

Melangkah ke tahun 2021, setakat ini Aina belum merancang berduet dengan penyanyi wanita, namun tidak menolak seandainya ada ruang sedemikian suatu masa nanti.

Apa yang pasti, besar harapan Aina dan Khai agar pendengar seiring menikmati keindahan Nafas Cinta bersama mereka.

SERASI bersama, Aina dan Khai Bahar juga saling memuja kekuatan serta kemantapan vokal masing-masing.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI