fbpx

Penangan Lenggang Syafiq Naser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ NASER

MUNGKIN ramai yang sedang tertanya-tanya gerangan suara siapakah yang menyanyikan lagu Lenggang, runut bunyi (OST) untuk drama The Maid yang kini bersiaran menerusi saluran Astro Ria.

Lagu berentak pop rancak yang menggabungkan pelbagai elemen berkenaan sebenarnya merupakan dendangan pendatang baharu yang dikenali sebagai Syafiq Naser.

Bagi lelaki itu, dia gembira apabila lagu Lenggang diberikan perhatian ketika drama The Maid bersiaran sehingga ramai yang mencari tahu siapakah pemilik asal suara berkenaan.

“Lenggang merupakan single pertama saya sebagai salam pengenalan dalam industri. Sejujurnya, saya tidak sangka lagu ini dipilih menjadi OST untuk drama popular.

“Sebagai pendatang baharu, saya bersyukur dengan ruang yang diberikan dan menganggap ini satu permulaan yang baik untuk perjalanan karier seni saya,” ujarnya.

Meskipun lagu berkenaan baru sahaja dilancarkan, namun Syafiq, 26, cukup teruja dengan maklum balas memberangsangkan yang diterima daripada pendengar.

Lagu Lenggang yang merupakan karya ciptaan Amzar Sabri, Muaffirah dan Dayne dilancarkan secara rasmi pada 13 Januari lalu menerusi saluran YouTube Indigital Music.

SEBAGAI introduksi dalam industri, Syafiq Naser hadir mempertaruhkan lagu Lenggang yang menjadi OST untuk drama The Maid.

Sejiwa

Syafiq sendiri menyifatkan lagu berkenaan cukup dekat dengan perwatakan sebenar dirinya yang ceria.

“Ini merupakan kali pertama saya masuk ke studio rakaman. Bukan mudah sebenarnya untuk menyiapkan lagu ini tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak memberi bantuan terutama dari aspek mencari kesesuaian lenggok dan emosi.

“Malah lagu ini juga mempunyai banyak karakter dan saya perlu mendalami setiap satunya terlebih dahulu sebelum memulakan rakaman. Syukur semuanya berjalan lancar dan saya tidak menghadapi sebarang masalah besar ketika proses rakaman,” tuturnya.

Meskipun negara masih berperang dengan suasana pandemik ketika ini ditambah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun itu semua tidak menghalang Syafiq menyiapkan video muzik Lenggang hujung Disember lalu.

Menariknya video muzik berkenaan menuntut dirinya untuk sama-sama menari dan membawakan pelbagai karakter termasuklah watak bapa bermisai tebal.

“Saya memang takut bila dapat tahu kena menari, ditambah pula tidak menjalani latihan. Tetapi saya beranikan diri. Mujurlah penari latar yang terlibat banyak memberi tunjuk ajar.

“Dari pagi membawa ke malam, barulah selesai proses rakaman. Memang satu cabaran baharu buat saya. Apa yang penting, hasilnya disukai ramai. Itu sudah cukup menggembirakan saya,” katanya lagi.

Sebenarnya, wajah Syafiq bukan lagi asing bagi pengguna media sosial. Hal ini kerana, dia merupakan instafamous dan terkenal dengan pelbagai kandungan video parodi dalam Instagram sejak dua tahun lalu.

Anak kelahiran negeri Perak itu kemudian melebarkan bakatnya dalam bidang nyanyian apabila menyertai pertandingan realiti Vokal Mania tahun lalu sehingga berjaya layak ke pentas akhir.

Meskipun tidak berjaya menempatkan diri di posisi juara mahupun mana-mana kedudukan teratas dalam pertandingan berkenaan, namun Syafiq tetap gembira dengan rezeki bertanding sehingga ke garisan penamat.

LAGU Lenggang nyanyian Syafiq merupakan karya ciptaan Amzar Sabri, Muaffirah dan Dayne dilancarkan secara rasmi sejak 13 Januari lalu menerusi saluran YouTube Indigital Music.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI