PETALING JAYA – Pelajar yang disahkan positif jangkitan Covid-19 atau diarahkan menjalani kuarantin kerana menjadi kontek rapat tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 22 Februari ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, pelajar terbabit hanya dibenarkan menduduki peperiksaan itu selepas mereka sembuh jangkitan tersebut atau selepas selesai menjalani tempoh kuarantin.
“Kita akan sediakan set soalan yang lain untuk mereka, tetapi standard soalan adalah sama. Standard kertas peperiksaan masih sama untuk tujuan pengiktirafan. Tiada penurunan standard pemarkahan.
“Calon terbabit bagaimanapun mesti mempunyai surat pengesahan bahawa mereka positif Covid-19 atau diarahkan menjalani kuarantin,” katanya pada sidang media secara online hari ini.
Habibah berkata, takwim peperiksaan bagi pelajar tahun 2020 tidak akan ditangguhkan dan berjalan seperti dijadualkan kecuali jika berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, beliau faham ada ibu bapa bimbang anak mereka dijangkiti semasa menduduki peperiksaan, tetapi perkara itu terbukti dielakkan dalam peperiksaan SPM ulangan tahun lalu.
Kata beliau, tiada laporan mana-mana pelajar dijangkiti Covid-19 disebabkan menduduki peperiksaan tersebut hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan.
“Jika kita lihat penularan adalah dalam komuniti. Tiada kluster dalam sekolah kerajaan yang timbul daripada hadir ke sekolah setakat ini.
“Ini kerana KPM ada garis panduan dan SOP untuk sekolah patuhi begitu juga ada SOP sebelum, semasa dan selepas peperiksaan,” katanya.
Tambah beliau, SOP dan garis panduan malah bertambah ketat untuk calon SPM 2020 disebabkan bilangan mereka lebih ramai berbanding SPM ulangan tahun lalu. – K! ONLINE