PENULARAN Covid-19 yang ketika ini dilihat tiada penghujungnya, namun ia bukan tiket buat atlet negara untuk terus berada dalam keadaan selesa.
Ketika ini, temasya Sukan Olimpik Tokyo belum pasti dianjurkan memandangkan bilangan kes jangkitan wabak Covid-19 semakin meningkat dan lebih membimbangkan, bandar utama seperti Tokyo mengumumkan darurat awal baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, beberapa negara lain turut menunjukkan jumlah peningkatan kes jangkitan sekali gus menimbulkan kerisauan kepada atlet mahupun masyarakat di luar sana.
Bagi Majlis Sukan Negara (MSN), ketiadaan kejohanan ketika ini adalah langkah terbaik buat atlet negara melakukan persiapan rapi memandangkan mereka mempunyai masa yang panjang untuk memperbaiki rekod pencapaian mahupun pulih dari kecederaan sebelum ini.
MSN telah merangka pelan terbaik buat atlet negara ketika Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach).
Tindakan MSN dilihat adalah langkah terbaik untuk memastikan atlet negara dalam keadaan bersedia untuk menghadapi temasya sukan 2021 dan 2022 kelak. Atlet negara akan menghadapi tiga temasya sukan besar seperti Sukan Olimpik Tokyo 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022, Sukan Asia Hanzhou 2022 mahupun Sukan SEA Vietnam 2021.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, seramai 632 atlet Podium, Podium Para dan Pelapis Kebangsaan serta jurulatih negara melibatkan sebanyak 28 jenis sukan sedang menjalani latihan secara quarantine based approach.
“Kem latihan berkenaan adalah di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrome Nilai.
“Sebanyak 11 jenis sukan yang melibatkan seramai 355 orang atlet dan jurulatih sedia ada di Bukit Jalil dan Kampung Pandan telah dibenarkan untuk break camp sepanjang tempoh PKP.
“Bagi memudahkan pengawasan dan pemantauan, MSN telah memindahkan atlet dan jurulatih Para yang berkampung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan ke Kompleks MSN di Bukit Jalil,” katanya baru-baru ini.
Ahmad Shapawi berkata, kem latihan secara Quarantine Based Approach ini juga akan dibantu seramai sembilan pegawai Urusetia, 33 krew perkhidmatan Kafetaria Atlet serta 10 pegawai khidmat sokongan Sains dan Perubatan Sukan daripada pihak Institut Sukan Negara.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, tempoh kejohanan yang panjang memberi peluang kepada atlet untuk melakukan persiapan yang rapi dan perbaiki rekod terbaik mereka.
“Kem latihan seperti ini adalah langkah terbaik yang diusahakan oleh MSN dan juga dibantu Institut Sukan Negara (ISN). Kem ini bermula pada Oktober lalu dan diteruskan sehingga kini. Cara ini adalah yang terbaik ketika kita sedang bertarung dengan pandemik covid-19.
“Dalam kem ini atlet negara dapat menjalani latihan sepenuh masa dan mereka juga tidak ketinggalan dari segi latihan. Kesemua mereka ini dipantau oleh jurulatih berpengalaman dengan mengikut jadual latihan yang ditetapkan.
“Bagi atlet yang bercadang ke Sukan Sea, Sukan Asia mahupun Sukan Komanwel, inilah adalah masa terbaik buat mereka untuk melakukan persiapan,” katanya.