SEBERANG PERAI – Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) merealisasikan impian seorang kanak-kanak pesakit leukemia tahap empat, untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) dengan meronda di sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) SPU, Kepala Batas di sini hari ini.
Mohamad Ammar Dhani Mohd. Azuan, 7, dibawa menaiki MPV jenis Honda Civic sambil diriba oleh Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor di tempat duduk penumpang hadapan.
Kanak-kanak tersebut dibawa bersiar-siar selama kira-kira lima minit sejauh kira-kira 2 kilometer.
Mohamad Ammar yang menghidap penyakit itu sejak berusia dua tahun berkata, dia gembira kerana berpeluang mencapai impiannya itu.
“Saya seronok sebab cita-cita saya nak jadi polis dan nak tangkap orang jahat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya berbesar hati kerana dimaklumkan Mohamad Ammar sering menyuarakan hasrat tersebut kepada ibunya.
“Hasrat itu disampaikan oleh salah seorang anggota polis kepada saya.
“Atas dasar keperihatinan, walaupun dalam kesibukan tugas harian ketika musim Covid-19, kita berusaha meralisasikannya dan mendoakan Mohamad Ammar segera sembuh,” katanya.
Mohamad Ammar berasal dari Bakar Kapor, Penaga di sini merupakan anak sulung daripada empat beradik dan ketika ini telah selesai menjalani sesi rawatan dan ubatan kerana sel kanser telah merebak ke paru-paru. – K! ONLINE