Hari ini minggu kedua kita tidak dapat menyempurnakan solat Jumaat. Sebelum ini dapat juga penulis mendengar khutbah di surau JKR di Salak Selatan, Kuala Lumpur.
Untuk Jumaat seterusnya tidak tahu lagi nasib macam mana lebih-lebih lagi ketika angka Covid-19 tidak turun-turun dan keadaan ini memberi gambaran kepada kita bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sepatutnya berakhir 26 Januari ini akan disambung lagi.
Solat Jumaat ibarat hari raya bagi umat Islam. Satu-satunya solat pada waktu Zuhur yang ada khutbah yang memberi kesedaran kepada makmumnya mengenai bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
Mereka yang dibenarkan untuk solat Jumaat ialah orang lelaki Islam yang menepati syarat-syaratnya seperti merdeka, waras, bermastautin, baligh dan berakal.
Ketika ini, alangkah sedihnya kita apabila solat yang menghimpunkan sekurang-kurangnya 40 jemaah itu tidak lagi dapat dilaksanakan ekoran penularan wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Para jemaah tidak lagi dapat mendengar nasihat khatib ketika membacakan khutbah dan peringatan-peringatan daripada hadis dan al-Quran yang bisa menyentak hati bagi makmum yang khusyuk.
Sebagai manusia, kita tidak boleh berenggang dengan ilmu atau peringatan orang alim selama tiga hari. Jika tidak, hati kita akan mula mati kerana tidak dibasahi dengan kalam-kalam ketuhanan.
Perkataan ittaqullah yang sering disebut oleh khatib pada permulaan khutbahnya sudah cukup membuatkan hati kita tersentak setiap kali mendengarnya.
Di dalam solat Jumaat terkandung pelbagai hikmah. Solat yang difardukan ke atas umat Islam kalau dilihat dari segi jasmani pun sudah cukup untuk membicarakan mengenai hikmahnya.
Melalui perbuatan baik dari mula kita berdiri, rukuk dan sujud akan merenggangkan segala urat dan otot-otot jika dilakukan dengan betul.
Kajian sains membuktikan solat dapat melancarkan aliran darah. Ia juga memberi maksud bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya bersenam agar dapat mengekalkan kesihatan jasad dan rohani.
Ketika ini, seruan azan yang berkumandang di masjid sekadar ingin memaklumkan bahawa waktu solat sudahpun masuk.
Sekiranya kita melintas di depan masjid atau surau kita pun tidak mahu singgah untuk menunaikan solat kerana arahan mengatakan hanya empat atau lima orang sahaja yang dibenarkan bersembahyang secara berjemaah di situ.
Lihatlah betapa dahsyatnya virus korona yang sudah hidup di dalam masyarakat kita ketika ini.
Ia telah menghapuskan kebiasaan yang telah kita lakukan sejak berkurun lamanya. Satu persatu nikmat yang diberikan kepada kita ditarik dalam keadaan kita sedar ataupun tidak.
Inilah masa untuk kita sama-sama bermuhasabah dan merenung apakah hikmah di sebalik musibah yang melanda dunia melalui Covid-19 ini.
Apa yang kita harapkan agar kehidupan kita kembali seperti sebelum ini kerana kita yakin bahawa kita tidak akan dibebankan dengan dugaan yang kita tidak mampu untuk menghadapinya.