PARIS – Pasukan permotoran terkenal dunia, Ducati mengesahkan bakal bersaing dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sehingga musim 2026 selepas menandatangani lanjutan kontrak bersama penganjur, Dorna Sports minggu ini.
Sebagai rekod, Ducati yang berpangkalan di Bologna, Itali telah bersaing dalam kejohanan motosikal paling berprestij itu sejak 2003 dan berjaya melahirkan juara dunia menerusi Casey Stoner pada 2007.
Malah, Ducati turut berjaya mencipta sejarah apabila menjuarai kategori pengeluar pada saingan musim lepas menerusi dua bekas pelumba mereka, Antonio Dovizioso dan Danilo Petrucci.
Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali mengakui sangat teruja untuk memastikan jenama Ducati terus bersaing di peringkat tertinggi dalam usaha kekal relevan dalam arena permotoran antarabangsa.
“Perlumbaan dalam arena permotoran sudah sebati dengan jenama Ducati dan saya harap perjanjian ini membuktikan komitmen kami untuk terus berada dalam kalangan jenama motor terbaik di dunia.
“Namun, saya tidak mahu pasukan berpuas hati dengan prestasi semasa dan mereka perlu bekerja keras untuk memberikan yang terbaik terutama dalam misi mengekalkan kejuaraan kategori pengeluar tahun lalu,” katanya.
Bagi saingan musim ini, Ducati akan diwakili oleh dua pelumba baharu, Jack Miller dari Australia dan Francesco Bagnaia (Itali) yang diberi tanggungjawab untuk menunggang jentera baharu pasukan. – AGENSI