PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap agar doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan bagi mencari langkah terbaik mengurangkan jangkitan Covid-19.
Menurutnya menerusi satu kenyataan di Facebook, seorang dari ahli keluarganya dijangkiti wabak tersebut baru-baru ini namun tidak dimasukkan ke hospital kerana tidak teruk dan sebaliknya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.
Katanya, semasa berada di rumah, keadaannya menujadi teruk sehingga tidak dapat bernafas, justeru dia dimasukkan ke hospital.
“Masalahnya semasa dia berada di rumah, penyakitnya dijangkit kepada ahli di rumah. Saya percaya dia tidak dapat dimasukkan hospital lebih awal kerana jumlah yang dijangkiti terlalu ramai. Tiap hari 4,000 (kes) dikesan.
“Namun demikian, jika pesakit berada di rumah, ahli keluarga akan dijangkiti. Maka lebih ramailah yang terjangkit. Sepatutnya mereka dimasuk ke dalam kuarantin berasingan dari keluarga,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, jika selepas sekian lama, pesakit mungkin sembuh atau perlu dirawat dalam hospital.
Katanya, setelah didapati tidak ada jangkitan, maka individu tersebut bolehlah dibenarkan pulang ke rumah.
“Sudah tentu tempat kuarantin hendaklah sesuai. Dari gambar yang diperolehi katil-katil terlalu dekat dan apabila ada lawatan pembesar pesakit akan berkumpul. Ini akan menyebabkan jangkitan merebak.
“Sesungguhnya ada banyak cara dan amalan yang boleh kurangkan jumlah jangkitan. Diharap doktor-doktor pakar dapat berbincang dengan pegawai kerajaan,” katanya.
Tambahnya, khidmat Pengarah Kesihatan amat dihargai tetapi wabak ini agak terlalu besar untuk ditangani oleh seorang sahaja. – K! ONLINE