LONDON – Britain akan meminta rakyat mereka memaklumkan jantina yang mereka inginkan di samping gender rasmi dalam surat beranak buat pertama kalinya menerusi banci penduduk pada tahun ini, demikian menurut kenyataan ahli- ahli statistik hari ini.
Proses bancian yang dijadualkan pada 21 Mac ini di semua wilayah kecuali Scotland akan merangkumi soalan tersebut selepas bertanyakan jantina kelahiran seseorang, kata Profesor Sir Ian Diamond kepada radio Badan Penyiaran British (BBC).
“Kami akan mengajukan pertanyaan sukarela buat pertama kalinya dalam soal selidik mengenai identiti jantina,” katanya dengan menyatakan bahawa soalan ini khas untuk mereka yang berusia lebih dari 16 tahun.
Pejabat Statistik Nasional (ONS) telah menerbitkan soalan yang disyorkan bagi menanyakan apakah identiti jantina seseorang sama dengan jantina kelahiran mereka dan jika tidak, individu berkenaan akan diminta memasukkan maklumat tersebut untuk proses kemas kini.
ONS memberitahu maklumat itu diperlukan kerana sehingga kini, tidak ada angka rasmi bagi mereka yang memilih identiti jantina yang berbeza dengan jantina yang didaftarkan semasa kelahiran.
Proses bancian akan diadakan secara online disebabkan penularan wabak Covid-19 yang belum reda.
Memandangkan Scotland menangguhkan proses banci ke Mac 2022 kerana wabak koronavirus maka hasil bancian seluruh Britain akan disusun kemudian.
Kali terakhir Britain mengadakan bancian adalah pada 2011 yang turut merangkumi Scotland. – AFP