fbpx

Air Terjun Tanjung Batu masih terpelihara – Exco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan negeri Perak menafikan laporan Air Terjun Tanjung Batu di Segari musnah sebaliknya menyatakan kawasan yang terjejas adalah alur air bermusim.

IPOH – Air Terjun Tanjung Batu di Segari masih dalam keadaan terpelihara menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin.

Tegas Mohd. Akmal, pihaknya menafikan laporan yang menyebut air terjun berkenaan telah musnah yang dipercayai akibat aktiviti perkuarian di kawasan tersebut.

Menurutnya, Air Terjun Tanjung Batu itu langsung tidak terjejas dan ia berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusaha hasil pengeluaran batu kuari dengan jarak satu kilometer dari tapak kuari berkenaan.

“Kawasan yang terjejas sebenarnya adalah alur air yang bermusim yang muncul ketika berlaku hujan terutamanya ketika hujan lebat.

“Alur air tersebut terjadi hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 (Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Akmal, hasil siasatan awal mendapati operator kuari telah melakukan pelanggaran syarat-syarat Laporan Impak Penilaian Alam Sekitar (EIA) yang ditetapkan termasuk tiada pegawai yang bertauliah dilantik operator kuari hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan di tapak projek.

“Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada 20 Januari lalu (kelmarin) di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operator kuari daripada beroperasi serta-merta.

“Semua kerja pembangunan juga telah dihentikan dan peleses telah diarahkan untuk melakukan tindakan pembaikan serta pemulihan (remedi) di alur air bermusim itu,” katanya.

Katanya, pelanggaran syarat tersebut akan menyebabkan operator kuari boleh diambil tindakan beradasarkan peruntukan undang-undang.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan pihak terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula 21 Januari (semalam) dan dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya orang ramai mendapati ada jentera yang bergerak di sekitar kuari, itu adalah kerja-kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang berjalan,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri amat komited dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan prihatin terhadap kelangsungan sungai di negeri ini.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI