KOTA KINABALU – Sebanyak 22 loji rawatan air (LRA) di beberapa daerah sekitar Sabah berdepan masalah membekalkan air bersih stabil ekoran pencemaran sungai.
Semua loji terbabit terletak di daerah Tuaran, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Kunak, Keningau, Tenom, Nabawan, Sook, Tulid, Beaufort, Sipitang dan Kota Belud.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kebanyakan loji air di negeri berkenaan sudah berusia lebih 20 tahun dan memerlukan naik taraf.
“Semua loji air ini sering ditutup walaupun musim hujan kerana tahap kekeruhan air sungai tinggi.
“Tiada pencemaran berlaku sewaktu permulaan loji air dibina namun pembangunan serta pembukaan tanah mahupun kawasan hutan mengakibatkan sungai menjadi tercemar,”,” katanya pada sidang media mengenai isu air Sabah hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ir Edward Lingkapo.
Menurut beliau, apabila perkara itu berlaku, ia bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat yang menggunakan air tersebut namun turut menjejaskan perkembangan sektor perindustrian.
“Ia menyebabkan loji ini tidak lagi dapat beroperasi dengan baik dan terpaksa sering ditutup menyebabkan pengguna selalu mengalami gangguan bekalan air
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata Sabah mempunyai sebanyak 84 LRA tetapi setakat ini hanya 22 loji sudah dikenal pasti mempunyai masalah yang teruk.
“Situasi ini membuatkan negeri ini mempunyai masalah kekurangan bekalan air sehingga 45 peratus di seluruh negeri selain 30 peratus sekitar Kota Kinabalu.
“Antara pendekatan diambil untuk menyelesaikan masalah ini termasuklah mewujudkan Suruhanjaya Air Sabah bagi membolehkan perkhidmatan pembekalan air diswastakan dan membina kolam simpanan air sungai atau Off River Storage (ORS).
Jelas beliau, penubuhan sebuah suruhanjaya air di Sabah adalah perancangan jangka masa panjang dan penting dalam menangani semua masalah berkaitan air yang dihadapi.
“JANS akan menyiapkan kertas kerja mengenainya untuk dibentangkan di Kabinet negeri manakala langkah ORS adalah pendekatan jangka pendek untuk digunakan di beberapa LRA bermasalah seperti satu di Tuaran, Sandakan dan Kudat,” katanya.-K!ONLINE