fbpx

SMK Kubang Kerian sedia bantu sesi PdPR pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meor (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah kepada Khairani (tengah) untuk diagihkan kepada pelajarnya di SMK, Kubang Kerian hari ini.

KOTA BHARU – Pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian di sini bersedia membantu meringankan bebanan ibu bapa pelajar yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19.

Pengetuanya, Khairani Sabtu berkata, setakat ini, pihak sekolah sedang membuat semakan data seramai 1,200 orang pelajar sekolah itu untuk mengenal pasti mereka yang terkesan dan terlampau daif sehingga tidak mampu membeli pakaian serta kelengkapan sekolah.

Katanya, paling penting, SMK Kubang Kerian ingin membantu pelajar-pelajar mengikuti pembelajaran melalui kaedah mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk sesi persekolahan pada awal tahun ini.

“Pelajar perlu mengikuti PdPR menggunakan telefon bimbit dengan data internet yang banyak agar pembelajaran mereka tidak menghadapi masalah.

“Susulan daripada arahan kerajaan untuk melaksanakan PdPR, kita banyak mendengar rungutan ibu bapa pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyediakan telefon pintar dengan data internet kepada anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima 40 beg sekolah dan kelengkapan alat tulis daripada pemilik Restoran Nasi Lemak Kopi O, Meor Nazir, untuk diagihkan kepada pelajarnya hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Khairani, setakat ini, ada pihak yang ingin tampil membantu untuk menyumbangkan telefon pintar dan tambah nilai prabayar internet kepada pelajar.

Katanya, bagaimanapun, perincian mengenai sumbangan itu sedang dalam perbincangan.

Sementara itu, Meor berkata, dia akan terus menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutamanya kepada pelajar sekolah.

Ujarnya, dian sudah mengadakan beberapa program penyampaian sumbangan kepada pelajar golongan asnaf.

“Saya mula membantu golongan asnaf sejak tujuh tahun lalu. Terbaharu, saya yang menjalankan aktiviti pengagihan bantuan nasi lemak kepada sukarelawan yang bertugas ketika banjir baru-baru ini,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI