ISKANDAR PUTERI – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 178 karton arak seludup pelbagai jenama dalam tiga kereta yang dianggarkan bernilai lebih RM121,000 di sebuah pasar raya di Gelang Patah di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 33 tahun diberkas bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, rampasan arak seludup pelbagai jenama itu dibuat di tempat letak kereta pusat beli-belah tersebut pada pukul 10.55 pagi.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM121,000. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.
“PGA menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.-K! ONLINE