SI jelita bermata bundar itu pernah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali dan kesemuanya tidak berkekalan. Hinggalah saat ini, dia melalui fasa mandiri, tidak terikat dengan mana-mana lelaki. Kata Natasha Hudson, dia tidak mahu terlalu pusing soal jodoh.
Tidak juga menanam perasaan serik dengan takdir jodoh yang belum serasi dalam hidupnya, pemilik nama lengkap Natasha Liana Hudson itu cuma belum bersedia. Namun, itu tidak bermakna, pintu hatinya sudah tertutup selama-lamanya untuk kembali bergelar isteri.
Kata orang, soal jodoh, pertemuan dan ajal itu terletak pada Allah SWT. Kalau sudah tertulis akan terjadi, waima perkara yang mustahil untuk dicerna minda, boleh sahaja berlaku bila-bila masa atas kehendak Ilahi.
“Mungkin juga serik, jadi saya seakan-akan tidak bersedia untuk mencari pengganti. Apa yang ada dan dilakukan sekarang sudah cukup menggembirakan hati saya. Cukuplah.
“Perkara yang berlaku pun terasa macam semalam dan saya pun menganggap diri masih menjalani proses sembuh daripada luka lama.
“Malah, terasa diri ini macam baru hendak bertapak atas tanah dengan kaki sendiri. Jadi, nanti dululah soal itu,” katanya.
Agama
Meneruskan perbualan tentang jodoh, kalau dahulu Natasha melihat lelaki yang kuat pegangan agama mampu membimbingnya ke jalan yang benar.
Namun, untuk perhubungan akan datang, dia tidak mahu meletakkan tanda aras atau harapan yang tinggi, khususnya soal kesempurnaan iman.
Bukan menganggap soal agama tidak penting, malah itulah yang sepatutnya, dia cuma enggan terlalu mengejar kesempurnaan kerana sedar, sebenarnya tiada jaminan kesempurnaan di dunia ini.
“Saya tak boleh berharap kesempurnaan dalam hidup sebab ada orang yang tidak akan menunjukkan warna sebenarnya sebelum berkahwin.
“Apabila sudah bersama, barulah satu persatu warna keluar. Sebab itulah, menjadi diri sendiri itu lebih penting.
“Kalau seseorang lelaki itu menerima saya dan anak-anak dengan baik dan ikhlas, itu pun sudah memadai kerana saya juga tidak mempunyai keluarga yang sempurna,” katanya.
Berbekalkan pengalaman, dia cukup masak tentang kewujudan lelaki boleh menjanjikan bulan bintang sebelum menjawat status suami, namun mudah memungkiri janji selepas itu.
Buat aktres Chermin itu, pintanya moga dipertemukan dengan lelaki yang boleh menerima statusnya sebagai seorang janda dengan hati yang terbuka termasuk anak-anaknya.
“Disebabkan itu, jika ada petanda atau ‘bendera merah’ yang saya lihat pada seseorang lelaki itu, lebih baik undur diri. Sebagai wanita, kita sudah tahu hak itu akan menjurus kepada satu perhubungan yang tidak sihat.
“Hidup ini pun singkat dan bila usia sudah meningkat, saya kena fikir banyak benda untuk keluarga. Kalau lelaki tersebut tidak mampu untuk menjadi ketua keluarga, saya rasa tak payah,” katanya.
Natasha mendedahkan, sejak dahulu lagi, dia juga tidak pernah selesa bergantung pada pendapatan suami. Katanya, dia lebih rela bekerja daripada dianggap hidup senang atas usaha orang lain.
“Saya akan cari jalan untuk menyara hidup secara halal dan tentunya bukan dengan cara yang haram. Saya orangnya sederhana sahaja cuma orang yang selalu fikir sebaliknya.
“Lelaki yang hendakkan saya kena faham dan hadam perkara ini, kalau dirinya tidak boleh memahami dan menjadi ketua keluarga yang baik, susah untuk saya menerimanya,” katanya.
Berkongsi kasih
Mengakui masih solo, Natasha bagaimanapun tidak menafikan bahawa ada sahaja lelaki yang ingin mendekati dan berkenalan dengannya.
Bahkan dedahnya, terlalu ramai yang cuba mendekati dirinya tetapi semuanya tidak dipandang serius. Dia masih belum benar-benar terbuka hati untuk lelaki.
“Pendek kata, macam-macam jenis lelaki cuba mendekati saya. Bukan itu sahaja, ada juga wanita yang cuba melamar saya untuk dijadikan madunya. Ini memang di luar kotak fikiran saya.
“Saya sendiri tergelak apabila mendengar pelawaan begitu,” dedahnya.
Natasha juga berpegang teguh dengan pendirian tidak mahu berkenalan dengan mana-mana lelaki menerusi aplikasi ‘dating’ atau media sosial.
Dia percaya, jika dijodohkan atau diperkenalkan oleh seseorang, akan ada kemungkinan bertemu ‘jodoh’ yang lebih molek.
“Takut jugalah kalau nak berkenalan menerusi media sosial. Maklumlah, sebab rata-ratanya adalah orang asing.
“Kalau diperkenalkan oleh orang terdekat, lainlah cerita. Bukan apa, manusia ini ada macam-macam jenis.
“Disebabkan itu jugalah pernah satu ketika saya menutup akaun Instagram. Sebab wujud lelaki-lelaki yang pelik dan menakutkan yang cuba mengganggu,” katanya menggulung perbualan.
Untuk rekod, Natasha sebelum ini pernah berkahwin sebanyak empat kali.
Perkahwinan pertama bertahan selama empat bulan, diikuti perkahwinan kedua dengan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari juga tidak bertahan lama.
Dia kemudian berkahwin dengan penyanyi hip hop Khalid Kamal atau Carleed Khaza yang juga bekas penyanyi kumpulan Phlowtron pada 15 April 2012.
Hasil daripada perkahwinan kedua dan ketiganya, Natasha dikurniakan tiga anak iaitu Nessa Helena, Naeema Khaleela dan Faatimah, namun mereka bercerai pada 2018.
Pada Oktober dua tahun lalu, pelakon filem Langgar itu mengejutkan ramai apabila mengesahkan perkahwinan kali keempatnya yang didirikan bersama ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekanor pada 7 Disember 2018 juga berakhir dengan perceraian.