fbpx

Minggu akhir tentu nasib GBX, Wicked

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUQMAN (dua dari kanan) bersama Ahmad Shahrin ketika menyertai satu kejohanan di Madrid, Sepanyol pada tahun 2019.

DUA wakil e-Sukan negara bagi permainan video FIFA 2021, GBX Esports Team dan Wicked Esports terus menghidupkan peluang beraksi pada saingan minggu ketiga kelayakan zon Asia Piala Dunia Kelab eFIFA bermula hari ini dan esok.

Saingan minggu ketiga kali ini amat penting kerana ia minggu terakhir buat GBX dan Wicked memburu kelompok empat teratas daripada keseluruhan lapan pasukan Divisyen 1 untuk mengesahkan slot ke pentas Piala Dunia Kelab eFIFA bulan depan.

Pengurus GBX, Aris Danial optimis dua pemainnya iaitu Muhammad Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq) dan Ahmad Shahrin Shaharudin (Ayen) mampu bersaing dengan pasukan-pasukan Divisyen 1 pada saingan ­minggu ketiga hari ini.

“Kami optimis mampu mendapatkan slot ke peringkat akhir. Para pemain begitu yakin dan percaya mereka boleh bersaing dalam Division 1.

“Kami juga mengkaji cara permainan pasukan-pasukan lawan menerusi penstriman langsung yang diadakan dan meneliti segala titik kelemahan serta kekuatan setiap lawan dalam Divisyen 1,” katanya.

FAIQ Iskandar (kiri) dan Muhammad Naim diharapkan dapat mengekalkan momentum mereka minggu lalu pada saingan minggu ketiga bagi menentukan layak atau tidak ke Final Event.

Sebagai rekod, GBX layak beraksi pada minggu terakhir kelayakan zon 2 iaitu benua Asia Timur sebagai juara Divisyen 2 selepas berjaya menewaskan Dire Wolves Asia 6-0 dalam aksi final pada 15 Januari lalu.

Kejayaan itu menyaksikan GBX akan menyertai satu lagi wakil negara iaitu Wicked yang lebih awal melayakkan diri ke Divisyen 1 selepas muncul naib juara Divisyen 2 pada dua minggu lalu.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana GBX perlu meraih sekurang-kurangnya kedudukan ketiga untuk mence­rahkan peluang melonjak ke kelompok keempat daripada tempat ketujuh ranking keseluruhan Divisyen 1 ketika ini.

Bagi Ahmad Shahrin, pemain konsol Xbox One GBX itu tetap optimis dia dan pasangannya, Luqman Haziq yang akan menggunakan PlayStation 4, mampu memberikan cabaran sengit sekali gus membanggakan nama Malaysia dalam komuniti FIFA di peringkat Asia.

“Ini merupakan satu pencapaian terbaik pasukan dari Malaysia kerana belum pernah ada mana-mana wakil negara bertanding pada Piala Dunia Kelab eFIFA edisi-edisi terdahulu.

“Kami akan mengambil peluang ini dan menggalas aspirasi komuniti FIFA di Malaysia untuk bergelar juara pada kejohanan ini,” jelasnya.

LOGO WICKED ESPORTS

Sementara itu, pengurus Wicked, Ahmad Fareed Ahmad Kamel berharap dua pemain pasukan itu, Muhammad Naim Muhammad Hisham (Wckd_Rentap) dan Faiq Iskandar Saiful Bahri (Faiq) dapat mengekalkan momentum mereka minggu lalu pada saingan kali ini.

“Saingan minggu ketiga ini amat penting kerana ia akan menentukan sama ada kami layak atau tidak ke Final Event. Kami berada di landasan terbaik dan perlu bertahan di kedudukan keempat sekarang,” katanya.

Sebagai rekod, GBX dan Wicked bakal berentap dengan Blue United eFC (Jepun), Kashima Antlers (Jepun), Team Flash (Singapura), Cyclops AG (Jepun), eSports Hong Kong (Hong Kong) serta Dire Wolves Asia (Singapura).

Satu lagi wakil negara iaitu Team Haq yang diwakili Nur Amirul Afandi (AmTuah) dan Iskandar Mirza Mohd. Mustafa (IsMirza) terpaksa akur tersingkir seawal minggu kedua selepas gagal melayakkan diri ke Divi­syen 1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI