BAGHDAD – Kira- kira 30 orang terbunuh dalam letupan berkembar angkara dua pengebom bunuh diri di tengah Baghdad hari ini, lapor media rasmi Iraq.
Serangan itu adalah yang paling dahsyat di ibu kota Iraq berkenaan dalam tempoh tiga tahun
Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan 73 lagi cedera dalam serangan pertama di sebuah pasar terbuka menjual pakaian terpakai di Dataran Tayaran.
Serangan hari ini di Baghdad adalah yang paling buruk sejak 2018 apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan yang diikat pada badannya dan meragut lebih 30 nyawa.
Menurut laporan Kementerian Dalam Negeri, pengebom bunuh diri pertama meluru ke dalam pasar itu dan mendakwa berasa tidak sihat.
Sebaik sahaja orang ramai berkerumun di sekelilingnya, suspek meletupkan bahan peledak pada diri sendiri.
Semasa orang ramai lari ke arah mangsa-mangsa letupan pertama, pengebom bunuh diri kedua pula meletupkan dirinya, kata kementerian itu.
Pihak berkuasa kemudian menutup kawasan itu daripada orang ramai.
Kumpulan paramedik berusaha mengalihkan mangsa-mangsa terkorban dan Kementerian Kesihatan Iraq menyatakan pihaknya sudah mengerahkan petugas-petugas perubatan ke lokasi kejadian.
Kejadian berdarah itu berlaku pada ketika penduduk di Iraq sedang bersiap sedia untuk satu pilihan raya.
Serangan pada 2018 juga berlaku beberapa bulan sebelum pilihan raya diadakan.
Tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden pengeboman berganda hari ini. – AFP