KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer tidak mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) menjalankan prosiding inkuiri terhadapnya secara tertutup.
Ketetapan itu dicapai selepas Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan beliau untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JEC.
Mahkamah turut membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili JEC untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Hamid Sultan melibatkan isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.
Mariana memutuskan demikian tanpa kos selepas berpuas hati permohonan hakim berkenaan adalah bersifat pramatang pada peringkat ini kerana JEC masih belum bersidang dan membuat sebarang keputusan mengenai aduan terhadap beliau.
Keputusan itu diumumkan secara dalam talian hari ini melalui aplikasi Zoom dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali yang mewakili JEC manakala Datuk Bastian Vendargon dan Datuk Joy Wilson Appukuttan mewakili Hamid Sultan.
Prosiding inkuiri itu sepatutnya dijadualkan bersidang pada 25 November tahun lalu. Tarikh baharu belum ditetapkan. – K! ONLINE