fbpx

Enam ditahan cederakan lelaki di stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KAJANG – Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 9 Cheras di sini semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.50 pagi menyebabkan seorang lelaki berusia 30 tahun cedera parah dan kini sedang dirawat di hospital.

Ketua Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika anggota tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki dalam keadaan cedera dan pasukan perubatan kemudiannya membawa mangsa ke hospital.

“Semakan televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit menunjukkan mangsa telah dicederakan oleh beberapa orang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan mangsa kini sedang dirawat di hospital serta dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu katanya, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menahan enam orang lelaki berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun di sekitar Batu 9 di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

“Kesemua suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730,” jelasnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI