KEKALAHAN mengejut perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok kelmarin menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Rata-rata peminat sukan badminton tanah air menyuarakan kekecewaan selepas pemain No.10 dunia itu tewas 21-18, 25-27, 19-21 kepada pemain India, Sameer Verma.
Meskipun mendahului 18-10 pada set kedua, namun Zii Jia gagal mempertahankan kedudukan dan tewas 25-27 sebelum ditunjukkan jalan keluar apabila tewas dalam aksi penentuan.
Bagaimanapun, legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei tampil mempertahankan pemain berusia 23 tahun itu berdasarkan usianya yang masih muda.
“Semua orang perlu sabar dan sedar Zii Jia masih muda dan perjalanannya masih jauh. Saya tahu dia sudah kalah dua kejohanan tetapi dia perlukan sokongan.
“Apa yang paling penting sekarang adalah Zii Jia perlu lakukan beberapa perubahan. Dia perlu ubah fikiran serta mentaliti untuk bangkit,” katanya ketika panggilan video bersama bekas pemain beregu lelaki, Tan Boon Heong di laman Facebook kelmarin.
Terdahulu, Zii Jia turut mengakui kekalahan itu memberi pengajaran berguna buatnya dan sedia berbincang bersama barisan kejurulatihan untuk kembali bangkit selepas ini.
Menerusi kekalahan tersebut, peluang Zii Jia untuk melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir minggu depan semakin tipis memandangkan berada di ranking kelapan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF).