fbpx

Bersedia untuk PKP 2.0 lebih lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA KOSMO!

ISNIN lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia bernilai RM15 bilion.

Pakej itu bagi membantu rakyat serta menjana ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Bantuan-bantuan kerajaan kepada rakyat ini menjadi signal awal bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini akan lebih lama lagi.

PKP 2.0 mulai 13 Januari lalu melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor serta Sabah.

PKP itu dilaksanakan selama dua minggu sehingga 26 Januari ini. Sepanjang tempoh ini, negeri-negeri lain pula dikenakan PKP Bersyarat dan Pemulihan.

Namun, tidak sampai seminggu, semua negeri kecuali Sarawak turut dikenakan PKP 2.0 mulai esok.

Situasi ini memberi gambaran kepada semua bahawa kita semua perlu bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

Bersedia untuk tidak menyambut Thaipusam dan Tahun Baru Cina, malah berkemungkinan besar tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di kampung pada Mei ini.

Bersedia untuk tidak dapat menziarahi ibu bapa yang berada jauh, tidak dapat bersosial bersama kawan-kawan dan bercuti dalam tempoh yang lama.

Bersedia juga untuk menghadapi risiko dipotong gaji, diberi cuti tanpa gaji atau dibuang kerja jika syarikat tidak dapat bertahan lagi.

Peniaga-peniaga pula perlu bersedia untuk bisnes kekal ‘bernyawa’. Tidak lagi boleh menunggu pelanggan datang ke kedai, sebaliknya gerak kerja untuk memasarkan produk menerusi online perlu diperhebatkan.

Gunakan apa sahaja platform yang ada untuk mempertahankan perniagaan sepanjang PKP. Manfaatkan segala bantuan kerajaan.

Peniaga kali ini bernasib baik apabila kebanyakan sektor perniagaan dibenarkan beroperasi. ‘Mak cik kiah’ jual pisang goreng di tepi jalan pun boleh berniaga. Situasi ini jauh berbeza ketika PKP dilaksanakan tahun lalu. Suasana sepi dan jalan lengang.

Melihat kepada kes-kes Covid-19 setiap hari sejak pelaksanaan PKP, penurunan kes adalah mustahil berlaku dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pernah berkata, PKP kali ini perlu dilaksanakan maksimum empat minggu bagi mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Pakar perubatan pula berpendapat, tempoh PKP yang berkesan untuk mengurangkan kes ke tahap selamat selama enam hingga 12 minggu.

Kita berharap kes Covid-19 dapat dikawal apabila kumpulan pertama akan menerima vaksin Covid-19 pada awal Mac ini.

Suntikan vaksin akan berjalan secara berperingkat sehingga tempoh keseluruhannya 12 bulan meliputi lebih 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia.

Ketika itu, kita semua perlu bersedia menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai jalan keluar daripada kesengsaraan yang dilalui selama ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI