SHAH ALAM – Seorang bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dihadapkan sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM100,000 bagi tender pembekalan dan penghantaran baja, tahun lalu.
Tertuduh, Shahrulzaman Jaafar, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan RM100,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun sebagai upah membantu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada syarikat KIIK Resources Sdn. Bhd. yang berjumlah RM37.4juta.
Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan berhampiran Hospital Serdang dan berhadapan sebuah pasar raya di Taman D’Alpinia, Puchong di antara 11 pagi hingga 2 petang pada 12 Mei dan 21 September tahun lalu.
Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin dengan Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff mewakili tertuduh tidak membantah perkara tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! pada 12 Januari lalu melaporkan Shahrulzaman didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2.1juta untuk tujuan sama pembekalan tender tersebut. -K!ONLINE