MANCHESTER – Manchester United dilaporkan cuba menjadikan perpindahan pemain pertahanan RC Lens dari Argentina, Facundo Medina direalisasikan pada jendela perpindahan kali ini.
Medina berjaya mempamerkan kemampuannya dalam saingan Ligue 1 Perancis setakat ini selepas melengkapkan perpindahannya dari kelab Telleres di Argentina dengan nilai sebanyak £2.7 juta (RM14.87 juta).
Menurut satu laporan di Perancis, United semakin serius untuk mendapatkan Medina dengan nilai £11 juta (RM60.58 juta) dan membenarkan pemain itu terus kekal bersama Lens sehingga penghujung musim ini.
Kemampuan pemain berusia 21 tahun itu yang boleh menguasai bola serta membaca permainan pihak lawan menyebabkan dia diburu bukan sahaja oleh United tetapi beberapa lagi kelab lain.
Persembahan cemerlangnya bersama Lens juga membolehkan dia dipanggil untuk menyertai skuad senior Argentina pada September tahun lalu dan melakukan debut ketika menggantikan Lautaro Martinez ketika menentang Bolivia pada aksi Kelayakan Piala Dunia.
Medina telah membuat 11 penampilan setakat ini bersama Lens dan turut membantu kelab itu menduduki tangga ke-10 Ligue 1 selepas mengutip 28 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.
Persembahan cemerlangnya dibenteng pertahanan mengingatkan para peminat Lens terhadap bekas pemain mereka Raphael Varane yang menjadi buruan banyak kelab sebelum memilih menyertai Real Madrid.
United terdesak untuk mendapatkan pemain pertahanan ketika ini untuk menambah kekuatan ekoran prestasi tidak menentu Harry Maguire, Victor Lindelof dan Eric Bailly. – AGENSI