MUAR – Tiga buah gudang dan sebuah gelanggang futsal musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Parit, Jalan Bakri di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.38 itu bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Jefri Jamal berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, 11 jentera bersama 37 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan gudang perabot, stor menyimpan barangan kotak, besi dan sebuah arena futsal jenis struktur separuh kekal.
“Kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Jefri berkata, operasi pemadaman kebakaran mengambil masa lebih dua jam sebelum ditamatkan malam tadi.
Jelasnya, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan. – K! ONLINE