KOTA BHARU – Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda dari Hospital Pasir Mas yang dipandunya mengalami masalah teknikal sebelum terbabas berhampiran jejantas di Jalan Pasir Hor di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mangsa Mohd. Redzuan Mohamed, 43, mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala, bahu kiri dan calar di kaki kanan.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero seorang diri dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas pukul 11.40 pagi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai mengalami kerosakan mekanikal apabila stereng terkunci dan brek tidak berfungsi.
“Insiden itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas ke bahagian kanan jalan sebelum merempuh pagar besi yang berada di atas pembahagi jalan lalu terbalik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, susulan kejadian itu, mangsa dirawat Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE