IBARAT layang-layang terputus talinya, kehidupan penyanyi Mimi Fly pernah berada di puncak duka gara-gara kegagalan rumah tangga yang dibina pada 2015.
Bertitik tolak daripada kehancuran mahligai bahagia bersama bekas suami, luka yang dialaminya semakin ternganga selepas berperang dengan masalah kebimbangan melampau.
Penderaan emosi yang dilalui sekali gus menjejaskan kehidupan seharian dan mengakibatkan pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu tergapai-gapai mencari jalan pulang.
Pada akhirnya, dia tersedar dan enggan berlama-lama terpuruk dengan perasaan kurang enak sebegitu. Dia bangkit memerdekakan perasaan daripada terus terjerut dengan perkara negatif yang pernah hinggap dalam hidupnya.
Retorik wanita itu, tidak akan menang perasaan galau yang bersarang dalam dada andainya kita belajar membuka mata dan bersyukur dengan segala nikmat yang hari ini.
Persepsinya berubah dan perkataan syukur kerap muncul di bibir, namun berapa ramai yang benar-benar memahami makna sebenarnya? Hidup yang kecundang menemukan Mimi dengan erti tepat tentang kesyukuran.
Benar kata orang, jika ingin melihat dunia dan isinya, keluarlah mengembara. Daripada pengalaman ‘mengembara’ ke sekitar ibu kota menjelang sambutan ambang tahun baharu lalu menjentik bermacam rasa dalam dadanya.
Kongsi Mimi, ketika itu Tuhan membuka matanya apabila melihat sendiri golongan gelandangan yang hidup terbiar di tepi jalan berbumbungkan langit, beralaskan kotak sebagai tempat tidur setiap malam.
Hatinya terjentik untuk mendekati golongan sebegitu, ternyata ada rahmat Tuhan yang tersembunyi. Apa yang dilihat membuatkan pandangannya terhadap segala ujian yang dihadapi sebelum ini hampir lebur.
“Waktu itu, saya sedar bahawa ramai lagi orang lain yang diuji lebih hebat, bukan saya sahaja. Cepat-cepat membuatkan saya sedar bahawa hidup ini terlalu banyak yang perlu disyukuri.
“Pulang ke rumah, ada makanan, katil empuk untuk berbaring, air bersih dan keluarga yang sihat. Sejak dari situ, saya belajar menjaga dan menyayangi diri. Kita mampu bertahan dalam keadaan sukar sebegini sebenarnya satu rahmat besar,” tuturnya mendalam.
Lebih tiga tahun berlalu selepas perceraian yang dianggapnya sebagai momen paling hitam dalam hidup, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Anak Kampung itu bangkit membasuh sisa air mata.
Demi mengenal dan mencari diri, penyanyi berusia 35 tahun itu melawan tanggapan negatif dengan mula berkarya menerusi penulisan lagu.
“Sebelum ini saya terlalu berkeras dengan diri sendiri. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, saya perlahan-lahan sedar bahawa kalau bukan diri sendiri, siapa lagi yang patut lebih sayangkan kita?
“Bukan mudah sebenarnya jalan yang saya lalui. Tetapi bermula dengan pengalaman sebegitu, saya mula belajar terbuka berkongsi bersama orang ramai yang senasib. Banyak saya kongsikan seperti amalan diet, senaman dan juga kata-kata positif memulihkan semangat,” katanya yang menghidap High-Functioning Anxiety (sejenis gangguan panik melampau).
Muzik baharu
Lama bertapak dalam industri, Mimi cukup terkenal dengan imej ranggi selain pembawaan muzik yang rancak, sementelah perjalanan kariernya sebelum ini diperjuang bersama kumpulan One Nation Emcees (ONE).
Selepas mengundur diri daripada kumpulan itu sekitar awal Januari tahun lalu, Mimi mengakui sedang menikmati fasa kebebasan.
“Bukanlah nak kata dahulu saya ‘terkongkong’ bersama ONE. Dahulu pun saya sangat seronok dan sehingga kini mereka masih saudara saya. Cuma setiap orang akan ada lalui titik perubahan dalam hidup.
“Itu yang saya rasakan ketika buat keputusan meninggalkan ONE. Saya sudah sampai tahap mahu keluar dari zon selesa dan mencuba muzik lain. Sejujurnya tahun lepas adalah fasa saya mengalami perubahan karya muzik yang paling tegang.
“Waktu itu saya berperang dengan kecelaruan mahu bawa muzik apa. Lalu saya jadikan pengalaman sebagai cerita yang akan mewarnai karya-karya baharu saya kelak,” katanya yang sedang menyusun strategi meluncurkan lebih banyak lagu baharu selepas ini.
Tukar selera
Ditebak mengenai pandangannya terhadap penerimaan peminat terhadap muzik baharu yang akan diperjuangkan tiada ada rasa takut yang berlegar dalam diri Mimi.
Katanya, sejak memulakan kerjaya sebagai penyanyi sekitar 2008, tiada artis yang tampil dengan konsep sepertinya. Namun dia berjaya membuatkan peminat menerima muzik yang diperjuangkan ketika itu.
“Saya tidak hirau dan takut. Sebab saya sudah lebih 12 tahun dalam industri. Saya tahu poket saya di mana. Kita tidak boleh hanya meletakkan diri sendiri di satu tempat, sebab muzik dan tahap hidup kita sentiasa berubah, malah selera juga bertukar.
“Paling penting, saya mahu jadi diri sendiri. Ya, saya takut. Takut sebab perjalanan karier sekarang solo, dahulu bersama kumpulan. Dahulu saya muda, sekarang semakin berumur.
“Tetapi saya tetap akan teruskan. Saya anggap ini semua fasa kedua dalam hidup. Tahap hidup saya naik ke satu tingkat yang baharu iaitu menulis lagu. Sejujurnya, saya tenang begini,” tuturnya panjang lebar.
Memulakan perjalanan karier pada tahun baharu, Mimi tampil berkolaborasi dengan seorang penyanyi dan juga penyampai radio, Adam Izzy menerusi lagu Menanti.
Lagu berentak R&B tersebut turut mendapat sentuhan komposer MFMF dan dia diberi kepercayaan sepenuhnya dalam penulisan lirik untuk bahagian sendiri.
“Lagu ini sebati dengan jiwa R&B saya. Paling menarik, lagu ini dedahkan sentuhan saya yang jarang-jarang boleh dilihat selama berada dalam industri, sekali gus menjadi kelainan untuk ditampilkan sepanjang 2021,” tuturnya menoktahkan perbualan.