TEMERLOH – Beberapa lubang yang tiba-tiba wujud di permukaan jalan sekitar bandar Mentakab mengejutkan dan meresahkan penduduk setempat.
Malah lubang di atas sistem perparitan bawah tanah yang semakin membesar itu dikhuatiri akan bertambah besar seterusnya memberikan risiko kepada penduduk di situ.
Seorang penduduk Wong Tze Shiang berkata, sehingga kini sebanyak lima lubang di atas sistem perparitan konkrit sedalam tiga meter didapati wujud di jalan sekitar bandar ini.
“Lubang-lubang ini semakin membesar yang mana terdapat dua lubang besar dan tiga lubang kecil yang boleh membahayakan orang ramai khususnya pejalan kaki dan penunggang motosikal.
“Jadi kita berharap lubang-lubang ini dapat ditampal dengan segera dan pemeriksaan dijalankan terhadap sistem perparitan di bandar ini yang mungkin berisiko berlubang lagi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Tze Shiang, lubang-lubang berkenaan dipercayai berlaku disebabkan banjir yang berlaku baru-baru ini.
Katanya, pada masa ini pihak berkenaan telah meletakkan halangan di laluan berkenaan sebagai langkah keselamatan.
“Bagaimanapun kita berharap lubang-lubang ini dapat dibaiki segera agar ia tidak semakin membesar dan menghalang laluan orang ramai,” katanya. – K! ONLINE