KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia kelengkapan rumah, Coway (M) Sdn. Bhd. (Coway Malaysia) optimis terhadap pertumbuhan perniagaannya meskipun ramai yang masih bergelut dengan cabaran ekonomi yang dibawa pandemik Covid-19.
Pengarah Urusannya, Kyle Choi Ki Ryong berkata, amalan norma baharu yang menggalakkan bekerja dari rumah dan hanya keluar untuk urusan penting menyebabkan masyarakat semakin mengambil berat akan suasana dan persekitaran dalam kediaman mereka.
“Ketika orang ramai menghabiskan lebih masa dalam rumah, perkara seperti kualiti udara dalam kediaman dan kualiti air minuman mereka semakin mendapat perhatian.
“Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, jualan kami merosot mendadak, sama seperti pemain industri lain kerana perlu mematuhi sistem operasi standard dan terpaksa menangguhkan perkhidmatan pemasangan, servis serta pembaikan.
“Bagaimanapun, prestasi jualan kami kini kembali meningkat secara beransur-ansur,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Menurut Ki Ryong, sejak mula bertapak di negara ini pada tahun 2006, syarikat telah memberi perkhidmatan kepada 1.5 juta pelanggan isi rumah dan dianggarkan memanfaatkan enam juta pengguna, selain memberi pekerjaan kepada kira-kira 20,000 rakyat tempatan.
Tambahnya, Coway telah melancarkan kempen ‘Ubah Hidup Anda’ pada Oktober lalu yang membawa misi untuk mengubah kehidupan pelanggan, kakitangan syarikat itu sendiri dan komuniti ke arah persekitaran yang lebih sihat menerusi servis serta peluang yang ditawarkan.
“Kami sentiasa melihat untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan termasuk perunding kesihatan dan juruteknik, selain menyediakan platform untuk menjana pendapatan stabil.
“Dalam tempoh singkat selama empat tahun dari 2015 hingga 2019, syarikat telah menghasilkan lebih daripada 200 orang jutawan,” katanya.
Selain itu, mengulas berhubung pengajaran yang dapat diambil selepas berlakunya pandemik, Ki Ryong berpandangan, pendigitalan merupakan proses yang tidak dapat dielakkan, namun pada masa yang sama, syarikat tidak seharusnya mengabaikan platform luar talian ketika berusaha bergerak maju ke hadapan.
“Kita harus memanfaatkan kedua-dua saluran, sama ada secara dalam talian mahupun luar talian dengan sebaiknya,” jelas beliau.