PETALING JAYA- ‘Beliau banyak bersedekah, setiap hari walau sedikit,’.
Itu luahan seorang wanita dipercayai isteri kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Ali Noor Hassan yang meninggal dunia kelmarin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pun begitu, menerusi catatan Facebook milik wanita itu yang menggunakan akaun Asilah Alqarny, kematian suaminya bukanlah disebabkan jangkitan Covid-19 atau kepenatan ketika melawan wabak itu.
“Dia meninggal dunia di HKL kerana Accute Respiratory Distress dan bukannya disebabkan Covid-19 atau kepenatan ketika melawan pandemik berkenaan.
“Tiba-tiba dapat banyak permintaan rakan di Facebook, sebab sudah tular, ramai orang doakan arwah. Beribu orang kongsi dan doakan dia, Alhamdulillah,” tulisnya di sini semalam.
Katanya, Allahyarham memang banyak terlibat dengan aktiviti jemaah tabligh dengan memeriksa pesakit secara percuma ketika ijtimak tabligh itu diadakan.
“Dia juga tidak berkira dengan kawan-kawan, dan dia antara yang suka ziarah sahabat yang sakit. Ramai yang mesej kata dia antara orang pertama melawat apabila ada kawan sakit.
“Semasa ibunya masih ada, dia banyak memuliakan dan berbakti. Setiap kali membeli lauk untuk keluarga, dia pasti beli lauk sama untuk arwah ibunya,” ujarnya.
Kosmo! Online tadi melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan KKM meninggal dunia.
Berita dukacita itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia. -K! ONLINE