RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 merampas barangan kosmetik bernilai RM22,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram Pok Mat, Lubok Gong di sini semalam.
Rampasan barangan kosmetik dari negara jiran itu dilakukan oleh anggota PGA pada pukul 11 malam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, semasa melakukan rondaan, anggota PGA telah menjumpai tiga kotak barangan kosmetik di tepi sebuah rumah yang tidak berpenghuni berhampiran pangkalan haram itu.
Menurutnya, bagaimanapun, tiada individu yang hadir untuk mengambil barangan tersebut selepas PGA menjalankan intipan di kawasan itu hampir 30 minit.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kotak tersebut membawa kepada penemuan pelbagai jenis barangan kosmetik seludup dari negara jiran.
“Semua barangan rampasan dibawa balik ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, barangan itu akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(1)(e) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.- K! ONLINE