GEORGE TOWN – Negeri ini merekodkan kes pembakaran terbuka lebih tinggi tahun lalu berbanding 2019 biarpun dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac ekoran pandemik Covid-19.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sebanyak 670 kes pembakaran terbuka direkodkan tahun lalu berbanding hanya 478 kes pada 2019.
“Kebanyakan pembakaran terbuka dikesan berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah haram, pembakaran sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan.
“Selain itu, ia berlaku di kawasan perladangan, sisa kebun, penerokaan dan pembukaan tanah serta di kawasan perumahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sharifah Zakiah, berdasarkan aduan dan siasatan yang dijalankan, pihaknya mendapati kes pembakaran sisa-sisa pembersihan sampah sarap di kawasan kediaman merupakan kes yang tertinggi. – K! ONLINE