fbpx

Waspada berdepan pemikiran antisains

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TAKWIM 2021 sudah bermula kira-kira dua minggu lalu. Telahan daripada perkembangan ter­kini, penulis menjangkakan tahun 2021 masih lagi dihantui oleh bayang-bayang pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, medan pertempuran di kebanyakan negara sudah bertukar arah.

Daripada peperangan mengekang penularan wabak, fokus kerajaan-kerajaan dunia kini ialah memantulkan semula ekonomi yang teruk diranap akibat Co­vid-19. Namun, yang paling pen­ting untuk tahun ini ialah usaha menjamin bekalan vaksin untuk rak­yat negara masing-masing.

Malaysia tidak terkecuali. Ber­diri di barisan paling hadapan dalam usaha membekalkan vaksin ini ialah Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (Mosti).

Menterinya, Khairy Jamaludin telah memberi jaminan vaksin Covid-19 yang dibeli negara ini adalah selamat, memandang ia telah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang.

“Harus diingat bahawa Malaysia bukan negara pertama mene­rima vaksin Covid-19 dan kita dapat lihat daripada maklumat bahawa vaksin yang sudah digunakan di Amerika Syarikat dan England adalah selamat,” kata­nya kepada media baru-baru ini.

Namun, selain isu pembekalan, ada satu lagi garis pertempuran membabitkan isu vaksin. Ia tidak lain dan tidak bukan, pemikiran antisains dalam kala­ngan rakyat Malaysia, terutama ‘kaki konspirasi’.

Ini dapat dilihat dalam satu keputusan kaji selidik yang di­kongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada Disember lalu.

Sebanyak 16 peratus didapati tidak bersetuju dengan vaksin atas alasan takut dengan kesan sampingan selain meragui bahan vaksin, manakala 17 peratus lagi didapati tidak pasti sama ada mahu menerima vaksin atau tidak. Ini bukan satu jumlah yang kecil.

Kaki konspirasi dengan selamba menuduh pandemik ini merupakan wayang ‘tangan-tangan gelap’ yang mahu menguasai dunia. Berbekalkan jumlah tontonan video konspirasi di Youtube, pihak ini dengan yakin ­merasa bahawa kumpulan mereka adalah yang paling terkedepan da­lam hal ini.

Persoalannya, jika konspirasi ini adalah rahsia, bagaimana de­ngan mudahnya mereka tahu me­ngenainya di laman sosial? Golongan agamawan yang ‘main belasah’ dalam mengeluarkan ko­men mengenai perkara ini juga tidak membantu dalam program vaksin Malaysia.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Prof Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, vaksin bukan sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat. Ini kerana, rak­yat Malaysia telah mengambil bermacam vaksin sebelum ini, sejak dari kecil.

“Bagi yang pernah pergi haji atau umrah, kita juga diwajibkan mengambil vaksin sebelum dibenarkan masuk ke destinasi.

“Setiap vaksin sudah pasti akan menimbulkan reaksi tindak balas imun dan tindak balas imun ini adalah bersifat sementara dan tidak dianggap sebagai kesan sampingan,” katanya kepa­da Kosmo!.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kelompok anti vaksin tegar, beliau berkata, fenomena itu merupakan pengaruh dari Barat yang meresap melalui media sosial terutama dari kala­ngan mereka yang kurang faham bagaimana vaksin merangsang sistem imun melawan jangkitan.

“Pihak yang berkenaan mestilah lebih agresif memberi pe­nerangan yang lebih efektif kepada rakyat tentang perkara ini melalui semua saluran media” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI