ROM, Itali – Seorang rakyat Itali berusia lebih 100 tahun menjadi antara manusia paling tua di dunia menerima suntikan vaksin koronavirus, beberapa bulan selepas dia sembuh daripada jangkitan Covid-19, kata rumah jagaan warga tua Anni Azzurri San Faustino di Itali.
Fatima Negrini yang akan berusia 109 tahun pada 3 Jun ini, menerima suntikan vaksin Covid-19 kelmarin bersama penghuni lain di rumah jagaan warga tua tersebut di bandar Milan.
“Ketibaan vaksin untuk dirinya dan semua penghuni rumah ini merupakan detik penuh kegembiraan dan langkah pertama ke arah kehidupan harian yang tenang di sini,” kata jurucakap rumah jagaan warga tua tersebut, Matteo Tessarollo.
Itali memulakan program vaksinasi koronavirus pada 27 Disember lalu. Sejak tarikh tersebut, kerajaan telah memberi pelalian Covid-19 kepada 1.15 juta penduduk di Itali.
Kelmarin, suntikan vaksin turut diberikan kepada Sami Modiano iaitu seorang mangsa pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi yang terselamat. Seorang wakil rakyat Itali, Nicola Zingaretti berkata, Modiano mendapat suntikan vaksin itu di Rom.
Zingaretti menyiarkan gambar Modiano menerima suntikan vaksin itu di Twitter dan menyifatkan foto tersebut sebagai ‘imej kepercayaan dan harapan buat semua orang’. – AFP