KLANG – Suasana di sebuah asrama wanita yang dijadikan pusat kuarantin Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, gempar dengan kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter, hari ini.
Kejadian pukul 8.20 pagi itu disedari seorang tukang sapu yang melihat reptilia seberat sembilan kilogram (kg) di depan sebuah bilik di tingkat bawah bangunan tersebut.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang berkata, lokasi itu merupakan Kolej Kediaman Ibnu Sina Universiti Malaya (UM) cawangan Hospital Klang yang dijadikan sebagai pusat kuarantin.
Katanya, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 8.23 pagi.
“Kita menggunakan alat penjerut bagi menangkap ular sawa jantan itu dalam tempoh operasi selama 10 minit.
“Ular itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas jurucakap itu, ketika kejadian tiada pesakit di bilik berkenaan dan mereka dipercayai berada di tingkat atas asrama tersebut. -K!ONLINE