fbpx

Rumah yang ditinggalkan jadi sasaran penjenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan,

ISKANDAR PUTERI – Kes pecah rumah membabitkan rumah yang ditinggalkan kosong oleh pemilik yang bekerja di Singapura semakin meningkat setelah menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak lapan kes dilaporkan membabitkan mangsa yang masih berada di Singapura sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Oleh itu, katanya, pemilik rumah di daerah ini yang bekerja di Singapura dinasihatkan untuk memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri atau komuniti kepolisian setempat selain memberitahu kepada jiran atau ahli keluarga yang lain untuk menjaga rumah mereka.

Tambahnya, dengan berbuat demikian, ia membolehkan pihak bertanggungjawab mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rondaan cegah jenayah secara berkala di kawasan kejiranan.

“Sepanjang 1 hingga 19 Januari sebanyak lapan kes pecah rumah dilaporkan di IPD Iskandar Puteri yang majoritinya membabitkan rumah mereka yang ditinggalkan kosong kerana bekerja di Singapura.

“Bagi statistik pada tahun lalu, sebanyak 15 kes dilaporkan di mana suspek mensasarkan rumah yang ditinggalkan pemilik tanpa berpenghuni,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, daripada lapan kes pecah rumah tahun ini, tujuh tangkapan sudah dilakukan iaitu lima disiasat di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta manakala dua lagi di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, bagi meningkatkan kesedaran umum, pihaknya membuat kempen selain hebahan di platform media sosial mengingatkan mereka yang meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang seperti bekerja di Singapura untuk memaklumkan kepada komuniti setempat atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Selain itu, pemilik rumah juga boleh meminta tolong jiran tetangga untuk menjaga dan menengokkan rumah mereka ketika sedang berada di negara jiran.

“Polis akan membuat rondaan tetapi tidak berada di kawasan perumahan sepanjang masa. Jadi, setidak-tidaknya jiran boleh membantu memastikan keadaan rumah tidak kelihatan seperti rumah tidak berpenghuni dengan keadaan tidak terurus dan pamplet penuh berlonggok diletakkan di pintu pagar,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI