PORTLAND, Oregon – Seorang pencuri kereta sempat memarahi mangsanya kerana ibu tersebut meninggalkan anaknya bersendirian di dalam kenderaan yang dicuri di bandar Beaverton, negeri Oregon, baru-baru ini, lapor akhbar New York Post.
Jurucakap Polis Beaverton, Matt Henderson berkata, ketika kejadian, wanita itu keluar untuk membeli susu dan daging di sebuah pasar raya.
Dia dilaporkan meninggalkan anaknya yang berusia 4 tahun di tempat duduk belakang kereta tersebut yang tidak berkunci dan enjin masih dihidupkan.
“Suspek yang kebetulan berada di tempat letak kereta pasar raya berkenaan bertindak mencuri kenderaan tersebut sebelum menyedari ada seorang kanak-kanak di tempat duduk belakang.
“Sejurus melarikan kereta terbabit, suspek memberhentikan kenderaan itu sebelum membuat pusingan U dan kembali ke pasar raya tersebut,” katanya.
Henderson berkata, sebaik tiba di pasar raya itu, suspek membawa kanak-kanak tersebut kepada wanita terbabit dan memarahinya.
“Lelaki itu bertindak memarahi ibu kanak-kanak tersebut kerana meninggalkan anaknya bersendirian di dalam kereta.
“Suspek turut mahu membuat aduan polis kerana wanita berkenaan bersikap cuai,” ujarnya.
Tambah Henderson, selepas memarahi wanita tersebut, suspek terus melarikan kereta mangsa sekali lagi.
“Kami bersyukur kerana suspek bertindak memulangkan kanak-kanak tersebut kepada mangsa,” katanya. – Agensi