SEBUAH siri dokumentari berjudul Death in Bollywood terbitan saluran televisyen antarabangsa BBC mencuri perhatian media, terutama di India apabila memaparkan kisah kematian bintang Bollywood, Jiah Khan.
Dokumentari sebanyak tiga episod berdurasi 59 minit setiap episod tersebut antara lain bercerita tentang kehidupan aktres berdarah British-Amerika itu sejak remaja sehingga bergelar selebriti.
Dokumentari berkenaan turut memaparkan kes kematian tragis Jiah apabila dia dijumpai meninggal dunia akibat bunuh diri di kediamannya di Mumbai pada 3 Jun 2013.
Tragedi mengejutkan tersebut masih tidak diterima keluarga Jiah. Sehingga kini ibunya, Rabia Khan percayai anaknya tidak membunuh diri, sebaliknya dibunuh secara licik. Mereka menuduh teman lelaki Jiah iaitu aktor Bollywood Sooraj Pancholi sebagai suspek utama.
Jiah membuat debut dalam bidang lakonan menerusi filem Nishabd bersama Amitabh Bachchan pada 2007 dan dia menerima anugerah Aktres Debut Terbaik Filmfare. Kali terakhir Jiah dilihat berlakon adalah menerusi filem pecah panggung Housefull yang dibintangi Akshay Kumar.