KUALA PILAH – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditangkap pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dalam satu pemeriksaan di Jalan Besar Kampung Talang, Empangan Talang, dekat sini, kelmarin.
Sumber berkata, kesemuanya ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) susulan semasa pemeriksaan di dalam kenderaan didapati terdapat satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk.
Menurutnya, kira-kira pukul 1 petang, pegawai dan anggota penguatkuasaan Jabatan Perhilitan telah menahan sebuah kenderaan jenis Land Rover mempunyai tulisan polis berwarna merah di jalan besar Kampung Talang.
“Kenderaan Land Rover berkenaan membawa bot polis yang telah digunakan untuk membuat rondaan bulanan di Empangan Kampung Talang.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki seorang pegawai dan tujuh anggota FRU menemui satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk di tempat duduk belakang,” katanya, dekat sini, tadi.
Sumber berkata, pegawai polis berkenaan mengakui hidupan liar berkenaan adalah miliknya.
Menurutnya, pegawai polis berusia lewat 30an berkenaan dan tujuh anggota berusia lingkungan 30an hingga 50-an berkenaan kini ditahan untuk siasatan.
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Land Rover berwarna merah, sekampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk, sebuah tong dan segugus kunco kenderaan dirampas.-K! ONLINE