fbpx

Nyanyian memudar, bisnes kencang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIMAN TINO

SEBAGAI penyanyi, nama Aiman Tino dalam industri hiburan tanah air sememangnya sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Popularitinya pernah mendadak naik ketika awal kemunculan sekitar 2016 menerusi lagu berhantu, Ku Rela Dibenci.

Lebih melakar sejarah, lagu ciptaan ibu bapanya, Yusri dan Riena itu juga pernah mencipta rekod sebagai video muzik paling ramai ditonton dengan meraih lebih 43 juta tontonan dalam YouTube.

Kesemua detik manis tersebut berjaya dikecapi pemilik nama lengkap Mohammad Aiman Yusri hanya kurang daripada tiga tahun selepas menjejakkan kaki dalam industri hiburan.

Masa bergulir, ironinya perjalanan seni Aiman kini seperti lilin yang malap cahaya, tidak marak semacam unggun api bersimbah bahan bakar sebagai mana beberapa tahun lalu.

MOMENTUM karier seni yang agak mendatar secara tidak langsung memberi ruang kepada jejaka kelahiran Selangor memperhebatkan lagi perniagaan keluarganya.

Populariti

Menjawab dakwaan tentang populariti yang sedang memudar, Aiman pasrah mengakui agak sukar untuk dirinya mengekalkan kejayaan yang pernah dikecapi beberapa tahun lalu.

“Sejujurnya saya tidak pernah anggap pun saya artis terkenal dan hebat satu ketika dahulu sebab populariti saya tidaklah sehebat penyanyi gah tanah air lain.

“Namun saya perlu akui, ketika ini nama sedikit tenggelam tetapi saya masih berada dalam industri, tidak hilang ke mana pun,” ujarnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Aiman bagaimanapun tidak menolak persaingan dalam kalangan artis baharu dan seangkatan dengannya menjadi antara faktor grafnya kariernya sedikit menjunam.

“Sekarang ini semua orang hendak jadi artis dan persaingan juga bertambah.

“Jadi memang sedikit sukar jika hendak mengikut rentak industri seni, arusnya laju.

“Tetapi tidak mengapa, saya kayuh perlahan-lahan tetapi masih mengikut arus,” ungkap penyanyi berusia 23 tahun itu.

Sepanjang agak menyepi daripada dunia hiburan, Aiman mendedahkan dia kini sibuk mengembangkan perniagaan char kuetiau yang diusahakan keluarganya sejak beberapa tahun dulu.

Lebih membanggakan, usahawan muda itu mengorak langkah melebarkan empayar perniagaannya dengan turut membuka cawangan restorannya di pusat beli-belah terkenal.

Memandang tinggi bidang perniagaan, Aiman memberitahu bidang tersebut sangat membantu punca pendapatan keluarganya saat dunia dilanda pandemik Covid-19.

AIMAN berhasrat melebarkan sayap perniagaan char kuetiau ke beberapa buah pasar raya terkenal tanah air sepanjang tahun ini. – AMIR KHALID

Usahawan

“Dunia hiburan sekarang pun seperti terumbang-ambing selepas banyak acara, persembahan dan penggambaran terpaksa ditunda atau ditangguh.

“Jadi, saya memilih perniagaan makanan kerana dalam keadaan sekarang, orang tetap cari makanan. Mana ada orang nak berlapar sepanjang hari.

“Alhamdulillah sambutan yang saya terima daripada pelanggan sangat memuaskan hati! Ramai yang puji sedap,” katanya dengan nada teruja.

Ketika disoal sama ada dia tidak mampu menampung kelangsungan hidup jika sekadar bergelar seorang penyanyi, anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor itu berkata, dia hanya mencuba nasib tetapi tidak menyangka rezekinya melimpah-ruah dalam bidang perniagaan.

“Apa yang boleh saya katakan, dengan menceburi bidang perniagaan, sedikit sebanyak saya dapat mencari rezeki lain untuk kelangsungan kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman juga tidak menafikan bahawa tawaran kerja seninya juga terjejas apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kalau dari segi tawaran kerja untuk acara persembahan nyanyian dan sebagainya, itu memang terjejas.

“Namun, saya bersyukur kerana ada beberapa syarikat produksi yang melihat dan nampak bakat lakonan saya.

“Itu sekali gus membuka peluang baharu untuk saya mencuba nasib dalam bidang lakonan,” ujar jejaka berkulit sawo matang itu.

PELANTUN lagu Benci itu mengakui masih selesa dengan genre balada dan tidak terfikir lagi untuk melancarkan lagu dalam irama lain.

Belum ada perasaan

Meskipun sibuk melebarkan empayar perniagaan, dia tetap muncul dengan buah tangan baharu untuk peminat.

Tinggal tidak lama sahaja lagi, Aiman bakal muncul dengan single terbaharu ciptaan komposer terkenal, Ippo Hafiz.

“Sudah lama saya mahu bekerjasama dengan Ippo dan apabila sudah ada peluang, memang saya tidak akan lepaskan. “Insya-Allah, jika tiada aral melintang, lagu baharu saya itu akan dilancarkan pada bulan ini (Januari), nantikan,” ujarnya yang baru muncul dengan single berjudul, Dendam Simpati pada Oktober lalu.

Kekal dengan genre balada, Aiman memberitahu niat untuk beralih ke irama lain masih belum mengizinkan.

“Dalam industri masih ada turun naik muziknya, genre kegemaran ramai sentiasa berpusing.

“Saya mengakui, masih belum ada lagu yang ikut trend sekarang.

“Saya berminat juga, cuma belum ada peluang dan perasaan untuk tukar atau mencuba genre lain,” ujarnya seraya menutup perbualan.

POPULARITI memudar, Aiman pasrah mengakui agak sukar untuk dirinya mengekalkan kejayaan yang pernah dikecapi beberapa tahun lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI