PETALING JAYA – Waktu perniagaan bagi restoran dan warung makanan yang disingkatkan sehingga pukul 8 malam sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri yang bermula pada Rabu lalu turut menjadi bualan orang ramai di laman sosial.
Tinjauan Kosmo! di laman sosial Twitter mendapati, #Si*****KauDengarSini yang membincangkan mengenai waktu perniagaan singkat itu menjadi tular apabila mendapat 67,800 ciapan sehingga pukul 3.30 petang hari ini.
Bagi seorang pengguna Twitter @yarafaee_ menjelaskan, dengan waktu perniagaan dari pukul 11 pagi sehingga pukul 8 malam, kebanyakan rakyat Malaysia hanya membuat pesanan makanan mereka sekitar waktu tersebut.
“Kau tahu tak, sampai hang (tergendala) mesin Foodpanda/Grab tu? Orang balik kerja tak ada masa nak masak sebab awal pagi esok dah kena pergi kerja balik.
“Daripada suruh rakyat find a way (cari jalan), kenapa tidak boleh gov (kerajaan) lanjutkan waktu operasi? Dengan waktu operasi yang singkat ini pun lebih menyusahkan staf yang siapkan makanan tahu tak?
“Tak sempat nak rehat dan kena OT tak berbayar sebab kesiankan kawan yang tak menang tangan ambil order (pesanan), tenaga kena kerah cukup-cukup, aku nak memandu balik pun tak larat lagi kau expect aku nak masak?” ujarnya.-K! ONLINE