MELAKA – Sebuah kilang membuat kipas angin musnah dalam kebakaran di Jalan Lan 3, Industri Angkasa Nuri, di sini, hari ini.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.25 petang.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh serta BBP Melaka Tengah telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kita dapati bahagian bawah bangunan tersebut telah terbakar dengan anggaran kebakaran kira-kira 70 peratus.
“Kebakaran itu menyebabkan barangan premis termasuk kotak, kipas angin dan beg berisi makanan haiwan hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkhairani berkata, kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.04 petang tadi.
“Bagaimanapun punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -K!ONLINE