JOHOR BAHRU – Tiga lagi Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor ditahan reman bagi membantu siasatan kes sindiket kartel daging sejuk beku import yang didedahkan Disember tahun lalu.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga orang kena tuduh (OKT) itu dibuat oleh Pendaftar Mahkamah, Nur Fathiah Mohd. Fedzir selama lima hari bermula hari ini hingga Sabtu depan.
Difahamkan, suspek yang berusia antara 40 hingga 55 tahun itu masing-masing bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan di Pejabat Maqis Muar.
Mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada pukul 7 malam kelmarin selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.
Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 atas tuduhan menerima rasuah.-K! ONLINE